Tempoh pengurusan fiskal lebih lama diperlukan untuk daya tahan negara pada masa depan

Bernama
November 2, 2021 09:30 MYT
Asri berkata satu bidang pembaharuan bagi ekonomi yang diterajui oleh MoF adalah berkenaan dengan pembaharuan dilakukan terhadap GLIC dan GLC.
KUALA LUMPUR: Perspektif jangka panjang mengenai pengurusan fiskal yang mampan diperlukan untuk memastikan daya tahan negara pada masa depan disebalik keutamaan jangka pendek ditumpukan terhadap pemulihan daripada pandemik COVID-19, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon.
Beliau berkata komitmen Kementerian Kewangan (MoF) ke arah pengurusan fiskal yang lebih mampan dimasukkan dalam Bajet 2022 yang merangkumi beberapa langkah cukai untuk meningkatkan hasil seperti Cukai Makmur 'one-off' (sekali bayar) dan juga meningkatkan cukai seperti urus niaga saham tersenarai.
"Pengurusan fiskal yang lebih baik termasuk melaksanakan kajian terhadap perbelanjaan awam yang komprehensif termasuk merasionalisasikan subsidi terutamanya untuk memastikan ia disasarkan dengan lebih baik kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam ucapan perasmian pada webinar 'Malaysian Economic Association 2022 Post-Budget Debate', semalam.
Justeru, Asri berkata MoF bercadang untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal di Parlimen pada tahun 2022 seiring dengan matlamatnya untuk terus komited ke arah pengurusan fiskal yang mampan dalam tempoh jangka sederhana.
Beliau berkata satu bidang pembaharuan bagi ekonomi yang diterajui oleh MoF adalah berkenaan dengan pembaharuan dilakukan terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Terutama dalam mod pemulihan ini, kami memerlukan GLC menunjukkan kepimpinan dalam memacu pelaburan sektor swasta. Oleh itu, komitmen antara GLC berjumlah lebih daripada RM30 bilion pelaburan termasuk Dana Impak Khazanah bernilai RM6 bilion yang akan mensasarkan bidang pertumbuhan baharu dan strategik.
"Pada masa yang sama, pembaharuan perlu dilakukan untuk memastikan GLC tidak meminggirkan sektor swasta tetapi turut melibatkan sektor itu menerusi sokongan terhadap pembangunan vendor tempatan," katanya.
Selain itu, bagi memastikan kesejahteraan rakyat, Asri berkata tumpuan harus diberikan terhadap pusat pemulihan bagi pemulihan pekerjaan di mana kerajaan akan menyediakan RM4.8 bilion untuk inisiatif JaminKerja yang akan menjamin tawaram sebanyal 600,000 pekerjaan baharu.
Beliau berkata pusat-pusat itu kebanyakannya akan menyediakan insentif kepada majikan untuk mengambil pekerja melalui insentif pengambilan pekerja menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagai tambahan, lebih RM1 bilion telah diperuntukkan untuk memacu latihan semula dan meningkatkan kemahiran modal insan.
Walaupun dengan rizab tunai dan simpanan yang semakin berkurangan, beliau berkata kerajaan akan terus memberi sokongan terutama mereka yang memerlukan melalui bantuan tunai.
"Dalam hal ini, dalam meningkatkan peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia kepada RM8.2 bilion, bidang yang diberi tumpuan pada 2022 adalah menyediakan bantuan tambahan untuk ibu tunggal dan juga warga emas," katanya.
Sementara itu, Asri berkata tumpuan terhadap sasaran untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial secara beransur-ansur seperti daripada segi mengemaskini kelayakan pembayaran berkaitan kebajikan kepada pendapatan garis kemiskinan makanan 2019 dan mensasarkan pemberian yang lebih besar bagi sektor tidak formal.
Selain pembiayaan untuk peringkat pemulihan, beliau berkata kerajaan percaya penggunaan digital adalah satu keperluan dalam kelaziman baharu hari ini untuk mengukuhkan daya tahan dan daya saing negara.
Bagi tujuan itu, kerajaan akan melabur lebih banyak ke arah memacu penambahbaikan kepada infrastruktur digital termasuk pelancaran 5G dan pada masa yang sama, menggalakkan penggunaan digital oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui geran padanan untuk pendigitalan dan automasi.
"Bidang utama untuk pembaharuan melangkah ke hadapan untuk perniagaan adalah untuk menerima agenda kemampanan dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Kerajaan akan memainkan peranannya dengan menggalakkan pertumbuhan hijau antaranya menerusi insentif yang diumumkan untuk kenderaan elektrik," tambahnya.
-- BERNAMA
#pengurusan fiskal #Asri Hamidon #daya tahan negara #bajet 2022
;