Teliti kos dan faedah jika ada hasrat selamatkan Sapura Energy - Nazir Razak

Hilmi Malik
April 10, 2022 17:30 MYT
Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak berkata, langkah itu perlu dibuat sekiranya terdapat hasrat pihak tertentu mahu pun kerajaan untuk menyelamatkan syarikat gergasi bumiputera itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Usaha untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad perlu diteliti dengan menilai kos untuk menyelamatkan syarikat tersebut serta faedah yang bakal diperoleh.
Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak berkata, langkah itu perlu dibuat sekiranya terdapat hasrat pihak tertentu mahu pun kerajaan untuk menyelamatkan syarikat gergasi bumiputera itu.
“Kita perlu teliti situasi kewangan dia dan kita tengok apakah harga untuk menyelamatkan Sapura serta apa faedahnya sebelum kita buat sesuatu keputusan.
“Saya sedih melihat situasi di syarikat Sapura ini yang merupakan sebuah syarikat minyak dan gas terbesar di dunia dan juga milik bumiputera,” katanya menerusi program Wacana Sinar pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nazir menyatakan, pihaknya sendiri masih tidak jelas berhubung status kewangan syarikat berkenaan.
Menurutnya lagi, wujud pendapat sesetengah pihak yang menggesa kerajaan untuk menyelamatkan syarikat terbabit namun ada juga yang berfikiran sebaliknya.
Saham Sapura Energy ditutup setengah sen atau 14.29 peratus lebih tinggi pada empat sen pada 18 Mac 2022, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM559.27 juta.
Sebelum ini gesaan agar kerajaan membantu SEB menyelesaikan masalah aliran tunai demi memelihara kepentingan strategik negara turut disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
#Nazir Razak #Sapura Energy #Bumiputera #Najib Razak #Ikhlas Capital
;