Tekanan inflasi semasa Malaysia, kenaikan harga adalah sementara - IDEAS
Bernama
Februari 16, 2022 16:48 MYT
Februari 16, 2022 16:48 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) percaya tekanan inflasi dan kenaikan harga yang sedang Malaysia alami kini sebagai sementara dan boleh dikawal sepenuhnya melalui dasar monetari dan fiskal yang sewajarnya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, inflasi ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh Indeks Harga Pengguna (IHP), telah meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun pada Disember 2021, disebabkan terutamanya kenaikan harga makanan dan bahan api serta kesan asas.
Dalam satu kenyataan hari ini, IDEAS berkata walaupun trend inflasi membingungkan, pelaksanaan dasar monetari yang tepat pada masanya akan dapat mengawal inflasi dengan cekap dalam jangka masa pendek hingga sederhana.
IDEAS mengambil maklum bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat telah memberi isyarat yang ia akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) beberapa kali pada tahun ini supaya dapat mengawal inflasi.
"Malaysia berkemungkinan akan mengambil langkah yang sama dengan menaikkan OPR secara beransur-ansur pada 2022 dan 2023 yang mana Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan OPR kira-kira 50 mata asas pada separuh kedua tahun ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan merangkap Pemangku Pengarah Penyelidikan IDEAS, Dr Juita Mohamad berkata kenaikan inflasi semasa merupakan masalah yang berlaku di seluruh dunia, berpunca daripada permintaan global dan harga tenaga yang lebih tinggi, setelah dua tahun berhadapan pandemik melalui pelaksanaan sekatan pergerakan.
"Pandemik dan sekatan pergerakan telah mengakibatkan kejutan dalam permintaan dan bekalan pada peringkat global. Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak kebal daripada kesan susulan pandemik yang dahsyat.
"Tekanan inflasi diburukkan lagi oleh banjir yang melanda negara baru-baru ini, yang memberi tekanan kepada bekalan barangan keperluan terpilih keluaran tempatan," katanya.
Juita berkata bagi meminimumkan kesan negatif kenaikan harga terhadap pengguna dalam jangka masa pendek, dasar fiskal termasuk subsidi penggunaan bahan api dan elektrik serta harga siling barangan keperluan telah dilaksanakan oleh kerajaan pada masa lalu.
Bagaimanapun, beliau memberitahu untuk jangka masa panjang, instrumen dan intervensi ini perlu dirasionalkan agar dapat mengelakkan pergantungan berterusan terhadap subsidi dan harga siling yang tidak berdaya maju secara ekonomi dalam jangka masa panjang.
"Pada pandangan kami, program jaringan keselamatan sosial yang formal perlu dibangunkan untuk memastikan bantuan kewangan boleh disasarkan dan disalurkan kepada isi rumah dan kumpulan terjejas secara berkesan dan telus," katanya.
-- BERNAMA