Tekanan inflasi, kos sara hidup dijangka meruncing suku kedua tahun ini - Pakar ekonomi
Rahimah Abdullah
Mei 13, 2022 07:30 MYT
Mei 13, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR : Angka pertumbuhan ekonomi Malaysia diramal terus meningkat pada suku kedua tahun ini susulan prestasi suku pertama 2022 yang memberangsangkan.
Pakar Ekonomi, Prof. Madya Yusof Saari bagaimanapun menjangkakan tekanan inflasi dan kos sara hidup yang meruncing dalam tempoh berkenaan.
"Angka tinggi ini adalah bukan baru kita dengar, dulu awal 2019, 4.7 peratus, sama juga, tidak semua merasai pertumbuhan. Untuk mencatat sesebuah pertumbuhan tinggi itu perlu, namun, setiap peratusan itu perlu diterjemah kepada kesamataraaan dari sudut pengagihan , kos sara hidup rendah, pengguna dan isi rumah ada kuasa beli yang baik.
"Ini ada lah suku pertama, sekarang suku kedua dan suku kedua ini mencabar walau selepas ini akan diumumkan (peratus) akan lebih baik namun tekanan dari sudut inflasi dan kos sara hidup akan meruncing dalam suku kedua," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Dalam masa sama katanya, dalam keadaan ekonomi negara meningkat, cabarannya ialah bagaimana untuk menterjemahkan angka berkenaan kepada kehidupan semasa.
"Kita berada di landasan tepat, kita melonjak 5.2 peratus, kita sudah lepas dan kembali kepada permulaan fasa sebelum pandemik. Namun ini angka, cabarannya adalah untuk menterjemah kepada kos sara hidup, gaji dan kebajikan rakyat," ujarnya.
Sementara itu, Malaysia perlu mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor pembuatan yang menjadi potensi ekonomi negara.
Dalam masa sama, negara perlu berusaha memberi keyakinan kepada pelancong luar untuk datang ke Malaysia dan sekali gus memulihkan semula sektor pelancongan.
"Kekurangan pekerja sektor pembuatan, ini perlu diberi perhatian, kerana ia berpotensi untuk ke depan, kalau tidak , tekanan masalah pekerja akan menjadi hambatan dalam memenuhi kehendak pasaran.
"Sempadan sudah dibuka, jadi kita pelacong luar yakin (untuk melancong dalam negara) dan meningkatkan tukaran wang asing supaya pemulihan pelancongan dapat ditambah baik pada masa depan," ujarnya.