Tekanan inflasi dijangka beri kesan kepada pendapatan suku tahun Berjaya Food - RHB Investment

Dagang News
Mei 12, 2022 08:05 MYT
Meskipun Starbucks melaksanakan gaji minimum dalaman baharu sebanyak RM1,800 bermula Januari lalu, peningkatan kemahiran dan produktiviti akan membantu kos tenaga pekerja stabil. - Gambar fail/DagangNews
KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Berhad menjangkakan Berjaya Food akan berdepan sedikit tekanan bagi pendapatan suku akan datang kesan daripada inflasi.
Walaupun berdepan tekanan inflasi sejak sebelum ini, jenama Starbucks berjaya mengekalkan margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) di atas 17% dengan pendapatan 2QFY22 berada pada paras 25.7% disokong oleh hasil jualan yang tinggi.
Meskipun Starbucks melaksanakan gaji minimum dalaman baharu sebanyak RM1,800 bermula Januari lalu, peningkatan kemahiran dan produktiviti akan membantu kos tenaga pekerja stabil.
"Sebagai tambahan, tiada sebarang bahan mentah yang menjadi bahan utama dalam kos barang jualan (COGS) dan harga biji kopi juga sudah ditetapkan di peringkat global oleh Starbucks Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian semalam.
Firma itu juga positif dengan tempoh operasi yang lebih lama untuk Starbucks pada 3QFY22 dan percaya mereka berada di landasan tepat untuk memenuhi sasaran pembukaan 35 cawangan baharu bagi FY22.
Katanya, promosi agresif Berjaya Food juga membantu meningkatkan jualan dan memanfaatkan saluran jualan alternatif serta fokus kepada perniagaan pandu lalu.
"Kenny Rogers (KRR) juga dijangka mencatatka keuntungan pada suku akan datang selepas membuat pembaharuan terhadap menu (penyelarasan harga) dan dijangka berada di landasan tepat untuk meraih keuntungan buat kali pertama sejak FY16.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM4.20 dan mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY22. - DagangNews.com
#RHB #Starbucks #Berjaya Food #Inflasi
;