Tarikh akhir penerimaan pengambilalihan FGV dilanjutkan

Bernama
Februari 16, 2021 16:17 MYT
Tarikh tutup penerimaan tawaran daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi pengambilalihan FGV Holdings Bhd dilanjutkan kepada 5 petang pada 2 Mac, 2021, daripada 5 petang pada 16 Feb.
KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) melanjutkan lagi masa dan tarikh tutup penerimaan tawaran daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi pengambilalihan FGV Holdings Bhd kepada 5 petang pada 2 Mac, 2021, daripada 5 petang pada 16 Feb.
"Kami juga ingin memaklumkan kepada pemegang saham bahawa lembaga pengarah pada 5 Feb mengumumkan sebaran pemegangan saham awam FGV adalah pada 23.93 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) berdasarkan kepada rekod pendeposit FGV setakat 4 Feb," kata Maybank IB dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebagai mewakili Felda.
Dengan demikian, FGV tidak memenuhi keperluan sebaran pemegangan awam minimum pada 25 peratus mengikut perenggan 8.02(1) syarat-syarat penyenaraian, katanya, sambil menambah seperti yang ditetapkan di Bahagian 4.1 daripada dokumen tawaran, pihak penawar telah menyatakan bahawa ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV.
Maybank IB berkata, sekiranya pihak penawar menerima penerimaan sah yang menjadikan pihak penawar dan sekutunya memegang agregat 90 peratus atau lebih daripada saham FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan), satu pengumuman segera akan dibuat oleh FGV.
Selepas pengumuman itu, Bursa akan menggantung serta merta dagangan saham FGV selepas berakhir lima hari dagangan daripada tarikh penutup, katanya.
"Setelah itu, pihak penawar akan mengemukakan permintaan kepada FGV untuk mengambil prosedur yang perlu untuk menarik kembali status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi selaras dengan Bab 16 Keperluan Penyenaraian," kata Maybank IB.
-- BERNAMA
#FGV #Felda #Maybank Investment Bank Bhd #Maybank IB #pengambilalihan FGV #FGV Holdings Bhd #Bursa Malaysia #penyenaraian FGV
;