Tarik subsidi petrol, kerajaan sedia berdepan reaksi awam - Rafizi

Sinar Harian
Oktober 21, 2024 15:07 MYT
Rafizi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus golongan maha kaya (T15) dapat membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 manakala yang lain mengikuti harga subsidi semasa. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan bersedia berdepan reaksi awam berhubung komitmennya untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus golongan maha kaya (T15) dapat membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 manakala yang lain mengikuti harga subsidi semasa.
“Dijangka kerajaan mungkin dapat jimat sebanyak RM8 bilion setahun walaupun ia juga boleh mencetuskan kenaikan harga pada pusingan kedua dan membawa kepada lonjakan inflasi.
“Kami bersedia menghadapi cabaran yang akan datang walaupun kerajaan telah meluangkan masa untuk mempersiapkan rakyat dan menjelaskan alasan berkenaan reformasi subsidi.
“Ini adalah keputusan yang mempengaruhi kehidupan semua orang,” katanya dalam temu bual dengan televisyen Bloomberg pada Ahad.
Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Dalam pada itu, Rafizi berharap, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan dapat mengurus perkara tersebut dengan baik agar ia dapat berjalan dengan mampan.
“Ini adalah kebimbangan terbesar kerajaan walaupun hanya sebahagian kecil daripada populasi akan terdedah dengan harga RON95 yang lebih tinggi.
“Adalah menjadi kelaziman ekonomi Malaysia jika berlaku kenaikan harga bahan api, kita akan melihat segalanya turut meningkat.
“Simulasinya adalah jika ada kenaikan harga, kami perlu melalui sekurang-kurangnya kitaran 12 bulan sebelum inflasi stabil semula kepada sekitar dua peratus,” jelasnya.
Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan purata dalam lingkungan dua hingga 3.5 peratus tahun hadapan, berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2024.
Anggaran 3.5 peratus pula merupakan ‘senario terburuk’ yang beliau berharap dapat dielakkan jika negara mematuhi sistem harga dua peringkat untuk RON95.
“Pilihan lain adalah untuk mengapungkan harga RON95 seperti dilakukan dengan diesel pada bulan Jun dan memberikan bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan untuk mengurangkan impak kos lebih tinggi.
“Tetapi bantuan sedemikian mungkin tidak sampai kepada semua orang memandangkan hanya 60 peratus tenaga kerja di Malaysia berada dalam sektor formal,” ujarnya.
Tambah beliau, fokus kerajaan sekarang adalah pada reformasi subsidi dan mengoptimumkan perbelanjaan sebelum dapat mempertimbangkan membawa kembali cukai penggunaan.
“Setelah mengalami pertukaran pemimpin sejak 2018, kerajaan semasa mempunyai alasan untuk berhati-hati. Kami tidak mahu menjadi kumpulan hit yang hanya berjaya sekali,” katanya. - Sinar Harian
#subsidi petrol #RON95 #Kerajaan Madani #Rafizi Ramli
;