Tanpa TPPA - Malaysia perlu beralih kepada ASEAN
Bernama
Januari 24, 2017 20:59 MYT
Januari 24, 2017 20:59 MYT
Berikutan pengunduran Amerika Syarikat (AS) daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Malaysia wajar menimbang untuk beralih kepada ASEAN sebagai alternatif untuk mendapatkan tawaran perdagangan dengan negara dari benua lain.
Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Datuk Wira Jalilah Baba berkata sebagai satu pakatan, ASEAN akan dapat menarik lebih banyak perhatian daripada negara lain untuk menandatangani perjanjian dua hala.
"Sudah pasti pengunduran AS daripada perjanjian TPP akan melambatkan kemajuan 11 anggota yang lain. Untuk itu, kita perlu mencari cara terbaik untuk memastikan ia tidak menjejaskan rancangan masa depan," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai tindakan AS itu.
Sebagai contoh, menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) secara individu akan mengambil masa yang lebih panjang, namun berdasarkan pakatan yang lebih besar seperti ASEAN, ia akan menjadi lebih mudah.
Beliau juga mencadangkan kerajaan mengkaji semula cadangan FTA Malaysia AS sebagai aturan sama-sama menang yang baharu dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Dr Zakariah Abdul Rashid berkata Malaysia tidak harus membataskan dirinya untuk meneruskan FTA dua hala dengan anggota perjanjian TPP, malah turut meliputi bukan ahli, seperti Iran.
"Dalam senario semasa, dengan dunia Barat mengamalkan dasar perlindungan, Malaysia perlu meneroka pasaran baharu untuk menjamin prestasi eksportnya.
"Salah satu cara untuk mengembangkan eksport ialah dengan menjalin lebih banyak FTA dua hala, yang mampu meningkatkan aliran dagangan negara," katanya.
Memandangkan saiz ekonomi Malaysia agak kecil, beliau berkata negara mesti dipacu oleh dagangan luar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Kita tidak boleh bergantung kepada permintaan dalam negeri untuk memacu ekonomi. Kita perlukan dagangan antarabangsa bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang negara.
"Walaupun rundingan perdagangan agak mencabar, inilah cara untuk mengekalkan ekonomi," kata Zakariah
Pada 21 Jan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia boleh mengkaji kemungkinan menjalin FTA dua hala dengan anggota perjanjian TPP, jika perjanjian itu gagal menjadi kenyataan.
Sementara itu, Ketua Penyelidi MIDF Zulkifli Hamzah berkata pengunduran AS daripada TPP sudah dijangka dan diambil kira oleh pasaran kewangan.
"Bagi anggota lain dalam TPP, keadaan masih kabur, dan kami perlu menunggu pengumuman rasmi.
"Ada kemungkinan 11 baki anggota akan meneruskan TPP, namun pemimpin Jepun, Shinzo Abe, berkata tanpa AS, TPP tidak akan bermakna," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata AS kekal sebagai rakan dagang yang penting bagi Malaysia walaupun tanpa TPP.
"Kami yakin Trump memperakui merit perdagangan antarabangsa. Apa yang perlu dilakukan oleh Malaysia ialah untuk terus melibatkan kerajaan AS supaya suasana sama-sama menang dicapai," katanya.
Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh pentadbiran AS selepas Trump mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat, AS mengumumkan pengunduran daripada perjanjian TPP selari dengan janji kempennya yang mengutamakan kepentingan negara itu.
Dalam satu kenyataan bertajuk 'Tawaran Perdagangan Bekerja Untuk Semua Rakyat Amerika', Rumah Putih juga mengumumkan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
"Jika rakan kongsi kami menolak rundingan semula yang memberikan keadilan kepada pekerja Amerika, Presiden akan memberi notis mengenai hasrat AS untuk menarik diri daripada NAFTA," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA