Tangguh kuat kuasa Akta Kerja dua tahun lagi - FMBA

Afiezy Azaman
Ogos 14, 2022 10:10 MYT
FMBA menggesa kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1995 (Pindaan 2022) bagi tempoh dua tahun. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menggesa kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1995 (Pindaan 2022) bagi tempoh dua tahun.
Pengerusinya, Datuk Abdul Malik Abdullah menggariskan tujuh perkara untuk Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan bertindak dalam merealisasikan pemulihan di samping menjaga kebajikan semua pihak.
Antaranya, membuat keputusan atau pindaan terhadap Akta Kerja 1995 yang lebih praktikal mengikut industri, menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor terkesan akibat COVID-19, ekonomi industri dan perniagaan semasa.
"Ini termasuk mengambil kira masalah dihadapi majikan atau pengusaha perniagaan terutama mikro, memastikan satu tempoh bertenang tidak kurang dari dua tahun sebelum akta tersebut dilaksanakan.
"Seterusnya, berbincang dengan semua pemain industri sebelum mengeluarkan sebarang undang-undang atau peraturan bagi memastikan tiada salah faham di antara pekerja dan majikan," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Abdul Malik menambah, kerajaan juga perlu mengurangkan isu sumber manusia yang akan meningkat akibat ketidakfahaman atau kekhilafan terhadap pindaan Akta Kerja di antara semua pihak dan agensi terlibat.
"Terakhir, memperkenalkan had di mana peruntukan akta tidak terpakai untuk pekerja yang mendapat gaji lebih daripada RM3,000 dengan cara meminda jadual pertamanya melalui perintah menteri," jelasnya.
Mengulas lanjut, Abdul Malik menyatakan, pindaan dan penguatkuasaan terhadap Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang dijadual dikuat kuasa pada 1 September ini bukanlah masa yang sesuai untuk dilaksanakan.
Ini kerana, katanya lebih banyak perniagaan memerlukan sokongan dan bantuan disebabkan pandemik COVID-19, perang Rusia-Ukraine, serta banjir dan inflasi yang menambah cabaran kepada perniagaan dan rakyat.
"Pindaan Akta Kerja akan memberi suatu impak yang tinggi terhadap kos operasi perniagaan terutamanya ketika dalam proses pemulihan.
"Ini turut memberi kesan kepada peningkatan harga jualan sesuatu produk atau perkhidmatan apabila majikan perlu mengambil pekerja dan menyediakan peruntukan gaji yang lebih.
"Pelaksanaannya harus selari dengan mengkaji semula kadar-kadar yang boleh memberikan penjimatan seperti menaikkan nilai ambang Cukai Perkhidmatan atau Cukai Jualan bagi sesuatu industri dan penjimatan diterima majikan boleh menampung peruntukan gaji," ujarnya.
#FMBA #Akta Kerja 1995 #Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia #Abdul Malik Abdullah
;