Tangani isu 'Ali Baba' bentuk ekonomi seimbang - Ku Li

Bernama
Oktober 17, 2014 00:16 MYT
TENGKU RAZALIEGH: Tangani isu 'Ali Baba' bentuk ekonomi seimbang - Gambar fail
Isu 'Ali Baba' perlu ditangani secara serius dalam usaha mencapai sasaran ekonomi yang lebih seimbang dalam negara, kata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata masalah itu yang menjurus kepada amalan kronisme dan rasuah turut menyebabkan peningkatan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat.
"Dalam kebanyakan kes, Ali Baba mendorong kelompok terpilih dan elit mencipta kekayaan yang luar biasa dalam waktu singkat tanpa perlu berusaha.
"Ini akan menyumbang kepada perasaan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana ia menyumbang kepada penyediaan barangan dan perkhidmatan tidak bermutu," katanya dalam ucaptama Forum Barah Ali Baba di Bumi Malaysia di sini, pada Khamis.
Forum anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) itu bermatlamat membentuk gabungan bertindak menolak rasuah dan merangka jalan penyelesaian yang lebih optimum.
Tengku Razaleigh berkata konsep Ali Baba memberi persepsi negatif kepada usahawan bumiputera yang dianggap sebagai 'overnight millionaires atau billionaires' (jutawan segera) kerana tidak mempunyai asas penting perniagaan tetapi hanya berdiri di bawah naungan pemimpin berkuasa.
Bagi mengekang perkara tersebut terus berleluasa, bekas menteri kewangan itu mencadangkan agar penguatkuasaan undang-undang dilaksana tanpa prejudis dan menyeluruh.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar berkata badan itu mencadangkan beberapa langkah bagi menangani isu tersebut.
Antaranya cadangan agar status bumiputera dalam pelbagai syarat kerajaan diaudit semula untuk merapatkan jurang ekonomi, dan meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kapasiti penguatkuasaan maksimum.
"Selain itu perlu ada perakuan daripada usahawan Melayu dan masyarakat lain bagi menolak konsep Ali Baba dan rasuah selain mencadangkan undang-undang penguatkuasaan diperkukuh," katanya.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed turut mencadangkan kerajaan mewujudkan undang-undang khusus bagi menangani budaya Ali Baba.
#Ali #ekonomi #Gua #MTEM #musang #razaliegh #SPRM