Tambatan ringgit hanya memberikan isyarat salah kepada pelabur - Penganalisis
Astro Awani
Julai 2, 2015 23:04 MYT
Julai 2, 2015 23:04 MYT
Ringgit tidak perlu ditambat kerana situasi tekanan ringgit yang dialami kini berbeza dengan krisis kewangan pada 1997-98.
Ketua Ekonomi Alliance Bank Manokaran Motain berkata jika ringgit ditambat ia akan memberi isyarat salah kepada pelabur yang kini kembali positif susulan unjuran naik penarafan Fitch Rating pada Rabu.
“Pelabur gusar menanti penarafan Fitch Rating dan kegusaran itu dilenyapkan dan kemungkinan besar mereka akan kembali yakin terhadap ekonomi Malaysia,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Malah beliau menegaskan asas ekonomi Malaysia masih kukuh dengan purata pertumbuhan tahunan empat peratus.
Katanya, kelemahan matawang tidak hanya dialami Malaysia sahaja malah kebanyakan matawang serantau.
Beliau turut menjangkakan ringgit akan kembali mengukuh kepada RM3.60 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
Pemulihan ini didorong penstabilan harga minyak dunia dan pertambahan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
Sebelum ini, penganalisis pasaran percaya ringgit akan terus berada di bawah tekanan didorong perubahan dasar kewangan global, kejatuhan harga minyak dunia dan kebimbangan terhadap unjuran Fitch Rating.
Ringgit jatuh ke paras terendah bagi tempoh 10 tahun pada awal minggu ini susulan kebimbangan isu hutang Greece.
Ia mencatat paras 3.7825 untuk setiap dolar AS.
Kejatuhan ringgit berbanding dolar AS juga didorong pengukuhan nilai matawang utama dunia itu.
Pengukuhan dolar disokong data perbelanjaan pengguna AS bagi Mei mencatat peningkatan tertinggi dalam tempoh hampir 6 tahun dan ini oleh unjuran kenaikan kadar faedah AS yang dijangka dilaksanakan tahun ini.
Ringgit pernah mengalami zaman kegemilangan apabila didagangkan kukuh dengan matawang-matawang utama dunia.
Matawang itu berada pada paras RM2.50 untuk setiap dolar AS antara tahun 1995 hingga 1997.
Begitupun, krisis matawang Asia yang bermula 1997 menyaksikan matawang ringgit jatuh mendadak sehingga RM4.40 sedolar.
Situasi berkenaan menyebabkan Bank Negara Malaysia melaksanakan langkah tambatan ringgit kepada RM3.80 untuk setiap dolar.
Langkah tambatan ringgit itu hanya diakhiri pada Julai 2005.