Tambah baik kutipan GST bagi imbangi bajet - Pakar
Najib Aroff
Januari 8, 2016 19:14 MYT
Januari 8, 2016 19:14 MYT
Pungutan cukai di bawah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harus ditambahbaik bagi memastikan hasil kutipan lebih tinggi.
Kutipan tinggi melalui GST itu penting bagi menampung perbelanjaan kerajaan dikala kelembapan ekonomi dunia dan harga komoditi yang lemah supaya sasaran defisit mampu dicapai, kata penganalisis bebas, Profesor Hoo Ke Ping.
“Janganlah tambah cukai. Licinkan sahaja pungutan GST. Sekarang masih ramai (perniagaan) yang lari dari (bayar) GST. Masih ramai yang belum mendaftar.
Ketatkan lagi sistem pungutan dan boleh jana berbilion pendapatan tambahan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Ke Ping, beberapa projek di bawah Bajet 2016 juga boleh ditunda, bergantung kepada kepentingan sesuatu projek.
“Projek-projek yang tidak mustahak tidak semestinya dijalankan tahun ini. Tahun lepas kita tangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan peruntukan RM600 juta bagi membantu mangsa banjir.
Pada masa sama Ke Ping berkata pemotongan subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) juga boleh dipertimbangkan kerana jumlah subsidi kepada IPP masih tinggi dan membebankan kewangan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata beliau akan mengumumkan pengubahsuaian kepada Bajet 2016 ekoran situasi ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perubahan pada Bajet 2016 melibatkan beberapa aspek supaya ia lebih realistik dengan situasi terkini.