Tak nak guna dolar? Ini alternatif yang boleh dilakukan ASEAN
Nabilah Khaleeda
Mei 12, 2023 14:15 MYT
Mei 12, 2023 14:15 MYT
NILAI dolar Amerika Syarikat (AS) adalah salah satu faktor utama yang mempengaruhi ekonomi global.
Bagaimanapun, terdapat beberapa alasan yang memerlukan ASEAN melihat alternatif selain nilai dolar AS.
Ini tiga alasan utama yang dikongsikan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh ketika ditemu bual Niaga AWANI:
1. Tidak tertakluk kepada isu-isu domestik Amerika Syarikat
Keadaan nilai dolar AS ditentukan oleh isu-isu domestik dan spekulasi yang berlaku di negara itu. Ia tidak ada kena mengena dengan negara lain seperti Malaysia. Ini termasuk keadaan politik, keputusan fiskal dan sebagainya. Oleh itu, ASEAN perlukan alternatif yang lebih stabil dan tidak bergantung kepada isu-isu domestik AS.
2. Keadaan pasaran kewangan dunia tidak menentu
Keadaan pasaran kewangan dunia yang tidak menentu dapat memberi kesan kepada nilai mata wang secara global. Ini termasuk nilai mata wang di Asia Tenggara, termasuklah ringgit Malaysia. Keadaan dolar AS yang tidak stabil boleh memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa termasuk import-eksport barangan dan perkhidmatan.
3. Alternatif berkesan untuk anggota ASEAN+3
Negara-negara Asia Tenggara adalah sebahagian daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Ia adalah blok dagangan terbesar dunia, termasuk ASEAN+3 iaitu China, Jepun, dan Korea Selatan. Blok ini mempunyai potensi yang besar untuk membangunkan ekonominya dan mengambil peranan yang lebih besar dalam pasaran global. Oleh itu, alternatif kepada dolar AS boleh memberikan kekuatan kepada ASEAN+3 untuk mengemudi hala tuju ekonomi mereka sendiri.
Berikut pula adalah dua isu utama yang perlu diperhalusi dalam mempertimbangkan alternatif kepada nilai dolar AS:
1. Nilai Pendasar
Pertimbangkan jenis aset yang akan digunakan sebagai nilai pendasar dalam perdagangan mata wang serantau seperti Hak Pengeluaran Khas (SDR) atau nilai semasa emas. Ia disebabkan ASEAN +3 mempunyai pelbagai mata wang.
2. Pengurusan
Fikirkan siapa yang akan mengurus serta membuat keputusan mengenai penilaian nilai pendasar yang dapat memberikan kestabilan dalam perdagangan mata wang serantau.
Kedua-dua isu ini perlu difikirkan dengan teliti untuk memastikan keputusan yang dibuat Ketua-Ketua ASEAN dapat dilaksanakan dengan lancar serta dapat mengatasi isu ketidaktentuan dalam mata wang dengan kadar segera.
Kesimpulannya, penting untuk ASEAN melihat alternatif mata wang yang lebih stabil dan tidak bergantung nilai dolar AS.
Justeru, menurut Sufian, pasaran kewangan dunia dan perdagangan antarabangsa dapat berjalan dengan lebih baik dan memberi manfaat kepada anggota ASEAN+3.