Tahap permodalan sistem perbankan Malaysia kekal kukuh untuk sokong pemulihan ekonomi - Bank Negara
Bernama
Jun 30, 2022 17:00 MYT
Jun 30, 2022 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem perbankan Malaysia mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu menjelaskan nisbah modal meningkat sedikit pada bulan Mei 2022, didorong oleh perolehan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual apabila kadar hasil bon susut buat sementara pada tempoh itu.
"Pada akhir Mei 2022, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal sebanyak RM121.5 bilion," kata BNM dalam laporan Sorotan Bulanan-Mei 2022 yang dikeluarkan hari ini.
Bank pusat berkata nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6 peratus dan 1.0 peratus, mencerminkan peningkatan yang sedikit dalam pinjaman terjejas daripada segmen perniagaan dan isi rumah berikutan pengurangan langkah-langkah bantuan bayaran balik pinjaman sejak suku pertama 2022.
"Jumlah peruntukan kekal pada tahap berhemat mencakupi 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 109.1 peratus daripada pinjaman terjejas.
"Pada akhir bulan Mei 2022, jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah RM40.7 bilion (akhir April: RM40.2 bilion) ," tambahnya.
Berkenaan pasaran kewangan domestik pula, BNM berkata pelarasan pasaran kekal teratur berikutan penurunan kadar hasil 10 tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak 21.0 mata asas pada bulan Mei, disokong oleh aliran masuk portfolio asing ke dalam pasaran bon domestik.
Sebaliknya, kadar hasil bon serantau meningkat sebanyak purata 24.5 mata asas, tambahnya.
Bank pusat itu berkata pasaran kewangan tempatan turut didorong oleh keadaan kewangan global yang lebih ketat disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar dasar yang lebih cepat dan besar oleh ekonomi maju, terutamanya di Amerika Syarikat, berikutan tekanan inflasi yang lebih tinggi dan berpanjangan.
-- BERNAMA