Tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat, hampiri tahap negara maju
Bernama
November 17, 2024 19:37 MYT
November 17, 2024 19:37 MYT
KUCHING: Tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia telah meningkat dengan ketara sejak 2016 dan menghampiri tahap negara maju.
Bagaimanapun, ia masih lagi dibelenggu tiga cabaran untuk melangkah lebih jauh sebagai masyarakat yang celik kewangan, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Beliau berkata peningkatan tahap pengetahuan ini ditunjukkan menerusi hasil kaji selidik kewangan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) tahun lepas.
"Berdasarkan kajian OECD untuk 2023, tahap pengetahuan kewangan rakyat Malaysia telah meningkat dengan ketara, mengatasi purata antarabangsa dan menghampiri tahap negara-negara maju yang lain.
"Ini merupakan satu perkembangan yang menggalakkan. Namun, kita cakna terhadap faktor-faktor lain yang mempengaruhi perilaku kewangan yang turut memberi cabaran," katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2024 di sini, hari ini.
Beliau berkata kaji selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan yang dijalankan oleh BNM baru-baru ini mendapati tiga cabaran kewangan yang masih dihadapi rakyat Malaysia iaitu pengurusan kewangan yang kurang berhemah, tabiat menyimpan dan literasi kewangan digital.
Menurutnya pengurusan kewangan yang kurang berhemah menjadi isu yang membimbangkan apabila kaji selidik itu menunjukkan satu daripada empat rakyat Malaysia merasakan hutang mereka membebankan, manakala akses tinggi kepada perkhidmatan kewangan seperti pemilikan akaun deposit tidak dapat diterjemahkan kepada tabiat menyimpan dan penggunaan secara bermakna.
"Menurut kaji selidik yang sama, 61 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menyediakan wang sebanyak RM1,000 sekiranya menghadapi kecemasan," katanya.
Beliau berkata tahap literasi kewangan digital yang masih rendah juga terbukti daripada kaji selidik itu apabila 15 peratus rakyat, majoritinya remaja, berkongsi kata laluan perbankan dan ini sekali gus mendedahkan mereka kepada peningkatan kadar penipuan dalam talian (online scam) dan risiko menjadi keldai akaun.
"Oleh yang demikian, penekanan besar telah diberikan untuk meningkatkan kesedaran dan menyediakan maklumat serta khidmat bantuan berkaitan ketiga-tiga isu ini di sepanjang karnival ini," katanya.
Menerusi karnival yang berlangsung selama tiga hari itu, beliau berharap para pengunjung dapat memanfaatkan ilmu berkaitan untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh dan stabil bagi diri sendiri, keluarga dan komuniti.
Karnival Celik Kewangan Sarawak merupakan acara kemuncak kepada program-program yang dianjurkan oleh Skuad Celik Kewangan yang melibat institusi dan agensi-agensi kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan yang telah berlangsung sepanjang Oktober dan November di 90 lokasi seluruh negara.
-- BERNAMA