Tabung Haji tegas amalan kewangan mengikut piawaian
Luqman Hariz
Februari 10, 2016 16:52 MYT
Februari 10, 2016 16:52 MYT
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menegaskan bahawa penyata kewangannya disediakan mengikut piawaian pelaporan kewangan oleh Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB).
Penyata yang diterbitkannya juga mematuhi prinsip syariah sepenuhnya.
Hal ini juga telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada 3 Februari lalu di mana polisi perakaunan lembaga itu disahkan sebagai mematuhi konsep berhemat, tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
TH seterusnya mendakwa tiada sebarang unsur perakaunan kreatif atau ‘creative accounting’ dalam amalan perakaunannya seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak baru-baru ini.
Lembaga itu berkata, keuntungan terkumpulnya masih berada di paras positif selepas pembayaran bonus 2015 pada 4 Februari lalu.
Menurut TH keuntungan terkumpulnya juga kini berada pada paras RM609 juta, berbanding RM293 juta pada akhir 2014.
Mengulas lebih lanjut mengenai pemberian bonusnya, TH berkata kuantum bonus yang ditetapkannya bagi 2015 adalah berdasarkan keuntungan tahunan semasa dan bukan menggunakan rizabnya.
Dalam kenyataan itu, ia turut menjelaskan bahawa TH mempunyai dua kategori rizab iaitu Rizab Boleh Agih dan Rizab Tidak Boleh Agih.
Menurutnya Rizab Boleh Agih terdiri dari keuntungan terkumpul dan keuntungan tahun semasa.
Manakala Rizab Tidak Boleh Agih TH terdiri dari Rizab Nilai Saksama (AFS) yang didakwanya berubah-ubah mengikut pasaran saham semasa.
Menurut TH sejak 8 Februari lalu, ia telah mengkredit sejumlah RM3.2 bilion bayaran bonus kepada 8.85 juta orang pendepositnya.