Syarikat yang mengguna pakai media sosial lebih daya saing

Astro Awani
April 15, 2013 17:48 MYT
Majikan dan pekerja Malaysia percaya syarikat yang mengguna pakai media sosial mempunyai lebih daya saing dan kelebihan berbanding syarikat yang tidak memanfaatkannya.
Kaji selidik JobStreet.com mendedahkan 80 peratus daripada majikan bersetuju alat media sosial boleh menjadi kelebihan untuk memacu prospek perniagaan.
Menurut JobStreet dalam satu kenyataan lebih 90 pekerja juga bersetuju dengan penggunaan media sosial.
Kaji selidik itu menunjukkan banyak syarikat agak longgar dengan dasar penggunaan media sosial mereka.
Sebanyak 65 peratus majikan yang ditemu bual untuk kaji selidik itu merasakan produktiviti kerja tidak akan terjejas selagi pekerja mengamalkan sikap disiplin dengan menyudahkan kerja mereka terlebih dahulu.
Syarikat yang tidak merebut peluang terhadap platform perniagaan yang berguna ini mungkin mahu menimbangkan semula dasar mereka ke atas media sosial, di tempat kerja.
Ini kerana 88 peratus memberi maklum balas yang mereka mungkin menyertai syarikat yang aktif dalam platform media sosialnya.
Secara keseluruhan, kedua-dua majikan dan pekerja yang menyertai kaji selidik itu memberikan respons positif ke arah penggunaan media sosial untuk tujuan perniagaan.
#Jobstreet.com #media sosial #mengguna pakai media sosial #pejabat
;