Syarikat pengiklanan mengaku dengar perbualan menerusi mikrofon telefon pintar

Amanz
September 3, 2024 13:00 MYT
Teknologi yang diberi nama “Active Listening” akan mendengar perbualan dan kemudiannya AI akan mencari frasa yang relevan untuk tujuan sasaran pengiklanan. -Amanz
KERAP kali kami mendengar legenda urban aplikasi media sosial mengintip perbualan pengguna untuk memaparkan iklan sesebuah produk.
Untuk tempoh yang lama, pakar mengatakan ia hanyalah kebetulan sahaja. Tetapi menurut laporan 404 Media hari ini, paranoia anda selama ini mungkin bukan lagi imaginasi tetapi realiti.
Dokumen syarikat Cox Media Group (CMG) yang tertiris menunjukkan kemampuan syarikat untuk mendengar perbualan pengguna menerusi mikrofon telefon pintar.
Teknologi yang diberi nama “Active Listening” akan mendengar perbualan dan kemudiannya kecerdasan buatan (AI) akan mencari frasa yang relevan untuk tujuan sasaran pengiklanan.
CMG berkata mereka telah melakukan kerjasama dengan CMG ialah Google, Facebook dan Amazon.
Google telahpun mengeluarkan kenyataan mereka telah menggugurkan CMG daripada program rakan kongsi pengiklanan mereka sementara Amazon berkata mereka tidak pernah atau merancang untuk bekerjasama dengan CMG di masa hadapan.
Akhir sekali, Meta mengatakan mereka sekadar rakan pemasaran umum dengan CMG tetapi tidak terlibat dalam penggunaan Active Listening kerana ia melanggar polisi syarikat yang tidak membenarkan akses kepada mikrofon untuk melakukan penyasaran iklan. -Amanz
#intip perbualan pengguna #CMG #mikrofon telefon pintar #syarikat pengiklanan #Active Listening