Syarikat pemula Sarawak diseru sertai program anjuran MTDC
Rudi Affendi Khalik
Oktober 5, 2023 18:47 MYT
Oktober 5, 2023 18:47 MYT
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yakin lebih banyak syarikat pemula dari Sarawak berpeluang menyertai program-program yang dilaksanakan agensi itu dalam mengkomersialkan idea-idea perniagaan berasaskan teknologi pada masa akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammad Hazani Hassan berkata, kerjasama rapat yang terjalin di antara agensi itu dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) ketika ini telah membantu menjayakan agenda tersebut.
Jelasnya, MTDC telah lama bekerjasama dengan SDEC dan pihaknya telah melihat potensi syarikat pemula atau start-up di Sarawak yang sangat membanggakan.
“Kita berasakan peluang daripada syarikat-syarikat di sini tidak seperti di Semenanjung... tidak banyak ekosistem di sana,” katanya kepada Astro AWANI selepas mengendalikan diskusi bertajuk “Taking Investment Risk” pada Persidangan WCIT-IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini.
Ujar beliau, pihaknya kini membantu SDEC dan bekerjasama dengan bakat-bakat yang ada dalam mengkomersialkan idea-idea daripada universiti dan syarikat pemula untuk bergerak ke peringkat seterusnya.
Menurutnya, Sarawak berada di landasan yang tepat kerana ia memiliki banyak potensi, yang turut selari dengan visi Premiernya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membawa negeri itu ke peringkat seterusnya.
“Kerana itulah juga kita menyertai WCIT-IDECS 2023 yang sedang dilangsung di sini,” katanya lagi.
MTDC kini sedang bekerjasama dengan 27 syarikat pemula di Sarawak, dan masih membuka penyertaan kepada mereka yang berminat.
“Untuk mereka yang berminat, sesi pitching diadakan pada setiap Isnin secara atas talian, tetapi yang ada di Sarawak, juga boleh melakukan sesi ini melalui SDEC. Yang pasti, ia terbuka kepada perniagaan yang hendak mempertaruhkan idea berasaskan teknologi,” tambahnya.