Syarikat pemula niaga dinasihat pastikan data kewangan mereka dalam keadaan baik - MDV
Bernama
April 27, 2021 17:11 MYT
April 27, 2021 17:11 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pemula niaga tempatan yang ingin mendapatkan dana atau geran bagi tujuan pengkomersialan perniagaan dinasihatkan untuk memastikan pemarkahan kredit dan kewangan peribadi mereka dalam keadaan baik bagi membantu menarik pelabur.
Naib Presiden khidmat nasihat perniagaan dan teknologi Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Zuhry Rashid berkata bakal pelabur ingin mempunyai gambaran penuh mengenai perniagaan pemula niaga sebelum membuat keputusan untuk memberikan pelaburan atau pembiayaan.
"Terdapat beberapa butiran data yang kami (pelabur) nantikan untuk melihat dalam operasi perniagaan pemula niaga anda dan salah satu perkara penting adalah data kewangan.
"Kami lebih suka melihat anggaran atau gambaran keseluruhan yang baik mengenai data asas anda seperti titik pulang modal yang membantu mengekalkan perniagaan ke arah meningkatkan pelanggan yang membayar," katanya dalam webinar bertajuk 'Membiayai Masa Depan: Melabur dalam Mewujud dan Membangunkan Model Perniagaan Digital' anjuran Cyberview Sdn Bhd hari ini.
Zuhry berkata butiran data lain yang perlu diberi perhatian oleh pemula niaga sebelum memohon bantuan kewangan adalah model pendapatan yang akan membantu perniagaan dengan mapan dari segi aliran tunai, komitmen kepada pelabur, rancangan pertumbuhan dan aktiviti pemasaran yang berkaitan.
"Apabila anda mengemukakan cadangan perniagaan atau rancangan perniagaan anda, cubalah bersikap realistik sebaik mungkin kerana akan timbul banyak masalah sekiranya perkara-perkara ini tidak ditangani secara realistik," tambahnya.
Sementara itu, ketua bahagian teknologi dan pengembangan Cyberview, Shafinaz Salim berkata pemaju hab teknologi itu menyediakan program intervensi atau fasilitasi khusus melalui program 'Cyberview Living Lab Accelerator' (CLLA) untuk membantu pemula niaga mengembangkan perniagaan mereka.
"Melalui dana alternatif yang ditawarkan oleh MDV, ini juga akan membantu para pemula niaga untuk mendapatkan akses dan memahami dengan lebih baik teknologi dan inovasi yang baharu muncul dan lambat laun mampu mengakses proses berkenaan," tambah beliau.
-- BERNAMA