Syarikat MSC Malaysia catat pertumbuhan pelaburan tertinggi - MDEC
Malik Ridhwan
April 11, 2016 17:00 MYT
April 11, 2016 17:00 MYT
Di sebalik cabaran ekonomi global, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Multimedia mencatat pertumbuhan positif dalam pelaburan dan eksport daripada syarikat-syarikat MSC Malaysia pada tahun 2015.
Sebagai agensi utama yang memacu ekonomi digital Malaysia, MDEC mencatat pertumbuhan 56 peratus bagi Pelaburan Diluluskan dan Pelaburan Langsung Asing.
Jumlah pelaburan aliran masuk daripada syarikat MSC Malaysia pula mencecah RM19.8 bilion pada tahun lepas.
Ini merupakan peningkatan tertinggi dalam pelaburan baru sejak penubuhannya pada 1996.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmin Mahmood, ini dipacu oleh keyakinan pelabur dalam industri ICT tempatan.
"2015 merupakan tahun yang bagus bagi kami. Pelaburan aliran masuk baru mencapai rekod tertinggi dalam masa 20 tahun dan buat kali pertama, jualan eksport untuk MSC Malaysia melebihi jangkaan kami," Datuk Yasmin Mahmood Ketua Pegawai Eksekutif MDEC
“Prestasi dan pertumbuhan MSC Malaysia adalah bukti kepada kemajuan yang ingin kita capai dalam melaksanakan strategi Ekonomi Digital kami dan juga meningkatkan keyakinan pelabur dan kepercayaan dalam industri ICT tempatan kita,” katanya dalam sidang media pengumuman prestasi MSC Malaysia 2015.
Dalam pada itu jualan eksport daripada syarikat MSC Malaysia menyumbang RM16.2 bilion, peningkatan 18 peratus daripada tahun sebelumnya.
Perkhidmatan perniagaan global antara penyumbang tertinggi sebanyak 69 peratus kepada jualan eksport keseluruhan.
“Syarikat-syarikat MSC Malaysia tempatan menunjukkan pertumbuhan yang baik pada 2015, jualan eksport meningkat sebanyak 9 peratus (RM3.7 bil). Kami berbangga untuk berkongsi bahawa MSC Malaysia mencatatkan peningkatan tertinggi dalam jualan eksport keseluruhan sejak tahun 2010,” katanya.
Tambahnya, pada tahun lepas MDEC menyaksikan tujuh syarikat tempatan tambahan yang melepasi pendapatan RM100 juta.
“Ini adalah satu pencapaian besar untuk MDEC dalam memperjuangkan syarikat MSC Malaysia tempatan kerana mereka meneroka pasaran serantau dan global. Adalah menggalakkan untuk melihat mereka berkembang tahun ke tahun menjadi lebih kukuh dan menyumbang balik kepada ekonomi negara,” tambah Yasmin.
Bergerak ke hadapan, MDEC akan memberi fokus kepada empat bidang utama dalam memacu ekonomi digital Malaysia menjadi lebih mampan.
Antaranya menarik lebih banyak pelaburan, pengembangan teknologi tempatan, memangkin ekosistem inovasi digital dan merakyatkan ekonomi digital.
Ia susulan pertumbuhan positif yang dicatatkan oleh bidang tumpuan seperti perkhidmatan cloud dan pusat data, keselamatan dan e-perdagangan pada tahun 2015.
Yasmin menambah, sektor animasi juga mencatat pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dalam sebanyak 52 peratus.
Manakala eksport permainan video meningkat enam kali ganda tahun ke tahun.