Syarikat minyak dan gas tempatan berdaya tahan - Penganalisis

Najib Aroff
September 3, 2020 12:22 MYT
Syarikat minyak tempatan juga menurunkan CAPEX di luar negara dan memberikan tumpuan kepada operasi domestik - Gambar Fail
Syarikat minyak dan gas tempatan dijangka mampu menempuhi tempoh sukar ketika ini selepas industri itu berdepan dua cabaran berganda, iaitu lebihan bekalan pada bulan Mac dan penularan COVID-19.
Menurut Pengarah Bersekutu Maybank Investment Bank, Liaw Thong Jung, sejak Mac, syarikat minyak dan gas sudah mengambil langkah proaktif dengan memotong perbelanjaan modal (CAPEX) mereka.
“Sejak krisis lebihan bekalan pada bulan Mac, mereka (syarikat minyak tempatan) sudah mengambil langkah berhemah dan proaktif.
“Mereka menurunkan perbelanjaan modal dan mengurangkan tenaga kerja. Syarikat juga menstruktur semula kewangan mereka, sama ada dengan penstrukturan semula pembiayaan dan menambahbaik aliran tunai.
“Ada juga syarikat yang mengurangkan tenaga kerja, bagi menambahbaik aliran tunai mereka kerana dalam keadaan krisis, simpanan tunai amat penting berbanding pertumbuhan,” katanya dalam temubual bersama Astro AWANI.
Thong Jung juga berkata sejak krisis kejatuhan harga minyak mentah pada 2014, syarikat minyak dunia mula melakukan pelaran besar besaran melibatkan perbelanjaan mereka.
“Tindak balas dari industri adalah berubah mengikut keadaan. OPEC memutuskan satu pakej untuk memotong pengeluaran hampir 10 juta tong sehari bermula Mei.
“Tindakan itu membawa kestabilan ke dalam pasaran dan menyaksikan harga minyak meningkat dari AS$20 setong kepada paras AS$40 dolar setong.
“Kestabilan amat penting kerana ia membantu perancangan projek masa hadapan serta perbelanjaan modal syarikat minyak.
“Pemangkin utama yang diperlukan industri pada masa ini adalah mencari penawar COVID-19. Jika wujud vaksin dan dapat diedarkan, ia akan memulihkan kembali segmen permintaan minyak,” tambahnya.
Selain itu, Thong Jung berkata syarikat minyak tempatan juga menurunkan CAPEX di luar negara dan lebih memberikan tumpuan kepada operasi domestik.
#CAPEX #COVID-19 #harga minyak #Kejatuhan harga minyak #koronavirus #Liaw Thong Jung #Maybank #Maybank IB #Maybank Investment Bank #OPEC
;