Syarikat luar dapat pacu Proton ke pasaran dunia

Bernama
April 2, 2017 15:13 MYT
Dalam usaha memastikan Proton melonjak daripada peserta tempatan ke pasaran global, perlu diambil kira pelbagai dimensi seperti teknologi, platform, model baharu dan pengeluaran yang lebih besar.
Berita mengenai semua syarikat yang membida untuk menjadi rakan strategik asing Proton masih kekal dalam usaha itu menjadi petunjuk kukuh bahawa banyak pihak mahu memacu pengeluar kereta Malaysia itu dari pasaran tempatan ke pasaran global, kata seorang pakar geostrategi.
Azmi Hassan berkata melihat kepada tawaran lain yang sama di seluruh dunia, beberapa perkara perlu diketepikan pada peringkat rundingan ini antara DRB-Hicom sebagai pemilik Proton dengan pembida antarabangsa.
"Dalam usaha memastikan Proton melonjak daripada peserta tempatan ke pasaran global, perlu diambil kira pelbagai dimensi seperti teknologi, platform, model baharu dan pengeluaran yang lebih besar," katanya kepada Bernama.
Azmi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Datuk Seri Syed Faisal Albar, pada Selasa yang menafikan laporan media bahawa Proton kini hanya berdepan dengan satu sahaja pembida asing sebagai bakal rakan strategik asing.
Kenyataan berkenaan tidak menamakan pembida tersebut tetapi difahamkan syarikat itu termasuk firma dari China, Geely Automobile Holdings dan pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah, Groupe PSA, yang memiliki jenama Citroen, Peugeot dan DS.
Syed Faisal berkata Proton dan pembida masih dalam beberapa proses penilaian terperinci dan menegaskan kepentingan bagi Proton dan bakal rakan strategik mewujudkan sinergi yang akan memastikan kejayaan perkongsian berkenaan.
Azmi berkata beliau yakin antara isu perbincangan ialah pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion yang diperoleh Proton tahun lepas daripada kerajaan yang mempunyai beberapa syarat serta pemindahan semua pembuatannya ke hab di Tanjung Malim.
Beliau berkata bagi firma dari China, Geely, yang hanya jenama domestik di negara itu, sehinggalah mengambil langkah berani membeli pengeluar dari Sweden, Volvo, satu jenama antarabangsa, yang membolehkan syarikat itu menggandakan pendapatannya baru-baru ini, dengan kelebihan penyelidikan dan pembangunan Volvo untuk memacu jualan jenama Geely.
"Selain itu, keuntungan bersih Geely melonjak sebanyak 126 peratus, pertumbuhan keuntungan bersih terbesarnya dalam lapan tahun dan harga sahamnya meningkat tiga kali ganda sejak 12 bulan lepas. Dan di bawah Geely, Volvo mencatatkan lonjakan dalam jualan kereta di peringkat antarabangsa berbanding sebelumnya," katanya.
"Pengeluar kereta dari China itu juga membeli London Taxi Co dan barisan keretanya di China sebenarnya bertaraf dunia, seperti PSA dari Perancis yang besar dan pesaing kuat bagi Proton," kata Azmi.
Beliau berkata sebenarnya amat penting bagi Proton untuk mempunyai rakan strategik asing yang mempunyai model perniagaan yang baik dengan pasaran yang luas kerana tanpanya, agak "sukar" bagi Proton untuk berkembang ke pasaran Asia pada masa depan.
"Kita semua tahu mengenai mentaliti orang Asia untuk memiliki kereta. Jadi, ini merupakan potensi yang besar dan dalam ASEAN sahaja jumlah penduduk mencecah 600 juta. Saya ingin melihat Proton melangkaui pasaran ASEAN dengan bakal rakan kongsi strategiknya.
"Dan juga, amat penting bagi Proton untuk memutuskan mengenai rakan kongsinya tanpa sebarang tekanan politik. Ia perlu hanya berdasarkan kepada keputusan yang tepat dari segi komersial," katanya.
Beliau memberi contoh Malaysia Airlines Berhad, yang telah mengambil langkah berani untuk memulihkannya dan begitu juga dengan keputusan Proton mengenai bakal rakan kongsinya yang sepatutnya atas dasar "sama-sama menang" dan semua pihak perlu memberi sokongan kepada perkongsian berkenaan.
-- BERNAMA
#pakar geostrategi #pasaran global #pasaran kereta #Proton #rakan strategik asing #Syed Faisal Albar
;