Syarikat JV MISC dapat lanjutan kontrak lima tahun daripada Shell Brasil
Bernama
Disember 29, 2020 07:30 MYT
Disember 29, 2020 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat usaha sama (JV) MISC Bhd telah mendapat lanjutan lima tahun kontrak daripada Shell Brasil untuk penyediaan fasiliti pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Espirito Santo, yang terletak di luar pesisir Brazil.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat perkapalan Malaysia itu berkata dua syarikat JVnya - Brazilian Deepwater Production Ltd (BDPL) dan Brazilian Deepwater Production Contractors Ltd (BDPC) telah menandatangani perjanjian dengan Shell Brasil pada 7 Disember, 2020.
"Perjanjian itu adalah untuk lanjutan kontrak lima tahun pajakan, pengoperasian dan penyelenggaraan FPSO Espirito Santo yang terletak di Campos Basin untuk lapangan BC-10, di luar pesisir Brazil.
"Kontrak awal dimeterai oleh syarikat itu dengan Shell Brasil pada tahun 2006 dengan tarikh luput bulan Disember 2023, dan dengan lanjutan tersebut, kontraknya akan dilanjutkan sehingga Disember 2028," kata MISC.
Ia menambah BDPL dan BDPC adalah usaha sama antara SBM Holding Inc. S.A (SBM) dan MISC Offshore Holdings Sdn Bhd (MOHB).
SBM memiliki 51 peratus ekuiti di BDPL dan BDPC, sementara MOHB memiliki 49 peratus ekuiti di setiap syarikat tersebut.
-- BERNAMA
#Shell Brasil
#Brazil
#MISC Bhd
#kontrak
#lanjutan kontrak
#Espirito Santo
#FPSO
#fasiliti
#luar pesisir
#syarikat perkapalan
#syarikat JV