Syarikat Itali berminat melabur dalam industri pesawat ringan di Perlis

Bernama
April 30, 2015 11:33 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata beliau sendiri sudah melawat kilang pesawat yang dikenali sebagai 'gyrocopter' itu di Milan semasa melawat Itali minggu lepas. - Gambar Fail
Sebuah syarikat pengeluar pesawat ringan kombinasi helikopter dan kapal terbang dari Itali, berminat melabur di Perlis.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata beliau sendiri sudah melawat kilang pesawat yang dikenali sebagai 'gyrocopter' itu di Milan semasa melawat Itali minggu lepas.
Pesawat kombinasi itu hanya boleh dinaiki dua orang, juruterbang dan seorang penumpang, kata Azlan kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Karnival Nasyid Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini, petang semalam.
Pesawat itu dianggarkan berharga 80,000 EURO atau RM300,000 sebuah serta mampu terbang pada ketinggian 7,000 kaki menggunakan kipas daripada kuasa angin.
Azlan yang baru pulang daripada meninjau peluang menarik pelaburan dari negara Eropah tersebut, berkata beliau juga berkesempatan menaiki pesawat kecil itu.
Pesawat ini tidak memerlukan kawasan yang luas untuk beroperasi, mencukupi landasan terbang seluas 40 meter untuk terbang dan mendarat.
"Dalam perbincangan dengan pemilik kilang pesawat ringan itu, belum ada sebarang persetujuan dicapai memandangkan mereka perlu melihat kesesuaian dan kedudukan ekonomi negara ketika ini," katanya.
Menurut Azlan dalam membawa masuk pelaburan berasaskan industri berteknologi tinggi, kerajaan negeri perlu melihat konteks pasaran di peringkat Asia.
Beliau berkata sekiranya dipersetujui, kerajaan negeri bercadang membina kilang berkaitan di kawasan pertumbuhan baharu di Lembah Chuping.
"Pada masa yang sama, kami akan mewujudkan sebuah sekolah latihan yang akan menyediakan tenaga mahir bagi merealisasikan industri itu di Perlis," kata Azlan.
Beliau berkata aspek lain yang diambil kira termasuk persaingan dengan beberapa negara yang menceburi industri itu seperti Amerika Syarikat, Afrika dan Eropah yang sudah pun membangunkan kilang pengeluaran pesawat ringan gyrocopter di negara masing-masing.
Di negara berkenaan, pesawat ini digunakan oleh golongan eksekutif dan orang kenamaan untuk mengatasi kesesakan lalu lintas.
#Azlan Man #helikopter #Perlis #pesawat
;