Syarikat Hyundai Oilbank beri bonus 120 bulan kepada pekerja
Astro Awani
Januari 4, 2023 20:31 MYT
Januari 4, 2023 20:31 MYT
KUALA LUMPUR: Tahun 2022 sememangnya tempoh yang cukup mencabar ketika dunia berdepan pelbagai krisis termasuk bekalan makanan, inflasi dan kos sara hidup tinggi.
Namun, di sebalik kesempitan itu, ada kebanyakan syarikat besar di serata dunia yang kekal bertahan malah mampu melangkah masuk ke 2023 dengan ganjaran yang lumayan.
Antaranya ialah syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Korea Selatan, Hyundai Oilbank, yang baru-baru ini, mengumumkan bonus 120 bulan gaji kepada pekerjanya.
Menurut laporan The Korea Herald, Hyundai Oilbank menyaksikan keuntungannya meningkat sebanyak 226 peratus pada suku ketiga 2022 sahaja.
Daripada jumlah itu, syarikat petroleum dan penapisan Korea Selatan itu menjana keuntungan S$2.9 bilion (2.8 trilion won) sekali gus mendorong pekerjanya diberi 1,000 peratus daripada gaji tahunan mereka.
Bagaimanapun, Hyundai Oilbank tidak mendedahkan jumlah khusus bonus yang diberikan, namun pekerjanya sebelum ini juga dilaporkan pernah menerima bonus pada kadar 600% pada 2021.
Menurut sumber, hasil pendapatan itu didorong oleh pencerobohan berpanjangan Rusia ke atas Ukraine dan permintaan yang lebih besar untuk pemanasan pada musim sejuk – sebagai faktor untuk rangsangan itu.
Dalam perkembangan sama ,syarikat minyak & gas utama lain dijangka mengumumkan kadar bonus yang sama iaitu melibatkan syarikat SK Energy, S-Oil, dan GS Caltex yang akan mengumumkan bonus tidak lama lagi.
Sebelum ini, syarikat kapal kontena Taiwan, Evergreen Marine Corp dan Yang Ming Marine Transport Corp mengumumkan bonus akhir tahun lumayan untuk para pekerja selepas mencatatkan keuntungan syarikat yang kukuh sehingga 52 bulan gaji kepada pekerjanya.
Menurut laporan Liberty Times, jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding bonus 40 bulan gaji yang diberikan pada tahun lepas.
Rata-rata pekerja diberi ganjaran bonus akhir tahun antara 10 hingga 45 bulan gaji, manakala mereka yang menunjukkan prestasi kerja yang luar biasa pula akan menerima bonus bersamaan 52 bulan gaji.