Syarikat farmasi British janji pelaburan AS$2.5 bilion di Beijing
Bernama
Mac 22, 2025 08:30 MYT
Mac 22, 2025 08:30 MYT
AstraZeneca akan membentuk usaha sama baharu dengan Shenzhen Kangtai Biological Products Co, Ltd. di Beijing.
BEIJING: Gergasi farmaseutikal Britain AstraZeneca menandatangani perjanjian bersejarah pada Jumaat untuk melabur AS$2.5 bilion di Beijing dalam tempoh lima tahun akan datang, menandakan keyakinan syarikat multinasional itu terhadap ekonomi kedua terbesar dunia itu, lapor Xinhua.
"Pelaburan ini menonjolkan keyakinan kami terhadap ekosistem inovasi sains hayat bertaraf dunia Beijing, peluang kerjasama yang luas dan kumpulan bakat yang luar biasa," kata Ketua Pegawai Eksekutif AstraZeneca, Pascal Soriot dalam temu bual dengan Xinhua.
Perjanjian itu ditandatangani dengan Beijing Economic-Technological Development Area atau dikenali sebagai e-town, kedudukan ibu pejabat wilayah utara China syarikat tersebut.
Tambahan pula syarikat farmaseutikal itu, yang beroperasi di China lebih 30 tahun, akan membentuk usaha sama baharu dengan Shenzhen Kangtai Biological Products Co, Ltd. di Beijing untuk membangun, mengeluarkan dan mengkomersialkan ubat inovatif yang menyasarkan pernafasan dan penyakit berjangkit lain.
"China adalah peneraju global dalam inovasi industri biofarmaseutikal," kata Soriot, sambil menyatakan bahawa laporan kerajaan tahun ini yang mengukuhkan komitmen negara terhadap sains, inovasi dan keterbukaan sebagai "sangat memberangsangkan."
"Kami telah melabur dalam sains dan inovasi di China selama bertahun-tahun, dan merancang untuk melabur lebih banyak lagi pada masa hadapan," jelasnya.
Soriot menyerlahkan peranan kritikal AI dalam sektor penjagaan kesihatan, menekankan kelebihan unik China dalam teknologi canggih, persekitaran perniagaan yang dinamik, dan "kelajuan China" yang menjadikannya hab yang menarik untuk farmaseutikal.
"Dalam industri biofarmaseutikal, masa depan terletak pada penggunaan data untuk mempercepat pembangunan ubat. Kerjasama kami tertumpu dengan institusi akademik dan syarikat yang menghubungkan AI dan biologi. Kumpulan bakat China dalam AI dan set datanya yang besar memberikan kelebihan daya saing," katanya,
Pelaburan mega itu menandakan usaha terbaru AstraZeneca untuk melipatgandakan komitmen di China. Pada 2024, firma itu menandatangani perjanjian untuk melabur AS$475 juta dalam kilang ubat molekul kecil di Wuxi, Wilayah Jiangsu, timur China. Ia juga melabur AS$750 juta untuk kilang aerosol penyedutan di Qingdao.
"Kami tidak ragu-ragu China akan mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa sains global dan membuat perubahan yang lebih besar untuk pesakit di seluruh dunia pada tahun-tahun mendatang," tambahnya.
-- BERNAMA