Syarikat dalam rantaian sektor minyak, gas dijangka terjejas
Najib Aroff
September 2, 2020 12:36 MYT
September 2, 2020 12:36 MYT
Kelemahan harga minyak mentah dunia susulan penularan pandemik COVID-19 tidak hanya menjejaskan syarikat minyak utama, sebaliknya kesan negatif berantai turut dirasai syarikat perkhidmatan di bawah sektor minyak dan gas.
Menurut Penganalisis RHB Research Institute, Sean Lim, syarikat perkhidmatan berkaitan minyak dan gas amat bergantung kepada perbelanjaan operasi (OPEX) syarikat minyak utama.
“Petronas sudah memberi bayangan bahawa tahun ini akan menjadi tahun yang sangat mencabar. Kami sudah jangkakan prestasi kewangan suku kedua akan sangat lemah disebabkan harga minyak rendah.
“Kesan ini akan turut dirasai sektor perkhidmatan minyak dan gas yang bergantung kepada perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX) syarikat mnyak utama.
“Kami jangkakan keadaan ini akan berlarutan sehingga suku kedua tahun depan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sean berkata, corak pelaburan dalam sektor minyak dan gas juga dijangka menurun memandangkan syarikat mengambil sikap tunggu dan lihat serta berbelanja lebih berhemah.
“Kita sudah saksikan penurunan pelaburan sejak bulan Mac kerana semua syarikat menilai semula pelaburan mereka.
“Di seluruh dunia, syarikat minyak dan gas memotong 20 peratus hingga 30 peratus bajet mereka,” tambahnya.
Beliau berkata, sebarang peningkatan pelaburan bergantung kepada prestasi pemulihan harga minyak untuk tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.
Petronas pada Mei lalu mengumumkan potongan 21 peratus OPEX mereka bagi tahun kewangan 2020.
Sementara itu, Sean berkata pemulihan berperingkat sektor itu dijangka berlaku bermula separuh kedua tahun ini.
“Kami jangkakan pemulihan akan bermula pada separuh kedua tahun ini kerana dunia sudah mula keluar dari tempoh perintah berkurung dan aktiviti ekonomi kembali beroperasi.
“Namun ia masih bergantung kepada penularan semula COVID-19 dan sudah pasti penemuan vaksin akan menjadi penentu utama," jelasnya lagi.
Sean menjangkakan vaksin akan mula dibangunkan menjelang 2021 dan edaran peringkat global pada 2023 sebelum harga minyak kembali pulih.