Syabas: Tiada peruntukan dari kerajaan negeri Selangor bagi Program Capex
Bernama
Julai 11, 2013 16:10 MYT
Julai 11, 2013 16:10 MYT
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Khamis menjelaskan bahawa kerajaan Negeri Selangor tidak pernah memberi sebarang peruntukan kewangan kepadanya bagi melaksanakan program perbelanjaan modal sejak bermulanya konsesi itu pada Januari 2005 sehingga sekarang.
Menurutnya, keseluruhan kos perbelanjaan modal (Capex) tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Syabas melalui dana dalamannya sendiri, pinjaman bank, pinjaman dan geran dari kerajaan persekutuan, tanpa sebarang sumbangan dari kerajaan negeri Selangor.
"Dengan pelaksanaan program air yang tiada hasil (NRW), Syabas telah berjaya menurunkan kadar NRW daripada 42.78 peratus semasa sistem pengagihan air diurus sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor kepada 31.18 peratus pada September 2008 apabila SYABAS mengambil alih pengurusan mulai 1 Januari, 2008," demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan di sini.
Bagaimana pun, program kerja dan usaha Syabas seterusnya bagi mengurangkan kadar NRW telah terbantut atas arahan kerajaan negeri Selangor yang membekukan kelulusan program Capex Syabas sejak 2008, kecuali program yang sangat kecil dan kritikal dan akibatnya kadar NRW tidak dapat dikurangkan lagi dan hanya dapat dikawal oleh Syabas sekadar lebih kurang 33 peratus sehingga hari ini.
Syabas mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini yang berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM784 juta kepada Syabas bagi mengurangkan kadar NRW.
Sejak mulanya konsesi pada bulan Januari 2005 sehingga 30 April 2013, Syabas telah membuat pelaburan lebih RM2.578 bilion bagi melaksanakan pelbagai program Capex untuk membaik pulih dan menaik taraf sistem agihan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan tujuan mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.