Swipey muncul antara 10 syarikat pemula terbaik Alpha Startups

Dagang News
Januari 22, 2022 08:50 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Swipey, Kalyana Mohan Teagarajan (duduk kanan) bersama barisan pengurusan syarikat. - Foto Dagang News
KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi kewangan (fintech) tempatan Swipey Digital Services Sdn Bhd (Swipey) berjaya menjadi antara 10 syarikat pemula terbaik dalam program pemecut Alpha Startups.
Kejayaan itu menyaksikan mereka bakal menyertai sesi pembentangan akhir acara teknologi kewangan, MyFintech Week 2022 anjuran Bank Negara Malaysia pada 24 hingga 28 Januari 2022.
Swipey menyasarkan untuk membina perkhidmatan perbankan digital berteraskan pelanggan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) moden yang kurang mendapat perhatian di Asia Tenggara.
Misi Swipey adalah untuk memberikan akses teknologi kewangan untuk PKS, selari dengan fokus MyFintech Week 2022 yang menekankan peranan yang dimainkan oleh teknologi digital dalam mengubah struktur kewangan ke arah membentuk masa depan ekonomi yang lebih terangkum dan berdaya tahan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Swipey, Kalyana Mohan Teagarajan berkata, pihaknya sedia membantu PKS dalam usaha untuk membina perniagaan mereka menerusi pendigitalan operasi kewangandan mengoptimumkan kos operasi.
"Kami mahu membina perkhidmatan perbankan digital yang berteraskan pelanggan untuk PKS moden yang kurang mendapat perhatian di Asia Tenggara dengan tawaran penyelesaian dalam bentuk paling mudah diakses," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kajian yang dijalankan Swipey mendapati bahawa 94% PKS lebih menggunakan kad pembayaran syarikat yang khusus bagi menguruskan perbelanjaan perniagaan dengan pengasingan, tadbir urus dan kawalan.
Hanya 8% mempunyai akses kepada kad korporat yang dikeluarkan oleh institusi kewangan tradisional.
Kalyana berkata, Swipey akan merapatkan jurang dengan memberikan kad korporat generasi baharu dengan menawarkan pemantauan serta pengurusan perbelanjaan secara berpusat dan telus.
"Antara matlamat kami adalah untuk membantu PKS mengatasi masalah pengurusan kewangan syarikat melalui platform digital kami," katanya.
* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.
#Bank Negara Malaysia #Swipey Digital Services #Alpha Startups #syarikat pemula terbaik
;