Suruhanjaya Sekuriti sasar 30 IPO baharu tahun ini - Pengerusi
Bernama
Mac 18, 2021 19:57 MYT
Mac 18, 2021 19:57 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyasarkan pasaran modal tempatan menyaksikan sebanyak 30 tawaran awam permulaan (IPO) baharu tahun ini biarpun dalam persekitaran tidak menentu di peringkat tempatan serta global.
Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata pasaran modal juga terbukti terus menjadi sumber pembiayaan utama manakala IPO masih dianggap sebagai kaedah terbaik untuk syarikat-syarikat mengembangkan perniagaan selain mempertingkat kedudukan korporat masing-masing.
"Penularan COVID-19 dan kesannya terhadap perniagaan telah menjejaskan usaha pengumpulan dana. Keadaan tidak menentu yang ketara juga boleh memberi impak terhadap keputusan perniagaan untuk langkah penyenaraian.
"Pada 2020, walaupun dalam tempoh mencabar, IPO di pasaran utama mencatat pertumbuhan sebanyak 20 peratus dan bagi tahun ini, kami menyasarkan sekitar 30 IPO," kata beliau dalam sesi taklimat media secara maya di sini bersempena Laporan Tahunan SC 2020 yang dikeluarkan pada Khamis.
Menurut laporan itu, SC telah menerima sebanyak sembilan permohonan ekuiti pada 2020, termasuk tiga IPO yang turut membabitkan satu cadangan penyenaraian sekunder di Pasaran Utama.
Selain itu, terdapat 19 penyenaraian baharu iaitu masing-masing dua di Pasaran Utama, 10 di Pasaran ACE manakala tujuh lagi di Pasaran LEAP dengan jumlah permodalan pasaran mencecah RM11.9 bilion.
Jumlah dana yang dikumpul daripada penyenaraian baharu tersebut pula dianggarkan sebanyak RM2 bilion.
SC juga mendaftarkan sejumlah 38 prospektus ekuiti pada 2020 yang terdiri daripada 11 prospektus bagi IPO dan 27 prospektus ringkas.
Mengulas prospek pasaran modal bagi tahun ini, Syed Zaid kekal optimis bahawa ekonomi global serta di Malaysia berada di landasan pemulihan berdasarkan faktor seperti kemajuan usaha vaksinasi, sokongan dasar SC dan aktiviti ekonomi yang disambung semula secara menyeuruh.
Bagaimanapun, ketidaktentuan ketara itu masih wujud manakala pemulihan secara menyeluruh pula dijangkakan secara berperingkat dan tidak setara di segenap sektor.
"Mengambil kira keadaan itu, SC akan memberi sokongan dasar bagi memastikan pasaran kekal berdaya tahan dan teratur serta menjadi sumber penting pendanaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini.
"Kami akan memberi tumpuan terhadap pembangunan dalam industri selain keperluan peserta pasaran.
"Ini termasuk mempermudah industri untuk terus melaksanakan usaha pendigitalan yang terbukti telah melonjak ketika pandemik, mempertingkat kemudahan pengumpulan dana untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan syarikat-syarikat peringkat pertengahan yang sememangnya penting bagi pemulihan ekonomi," katanya.
Syed Zaid turut menegaskan bahawa SC akan meneruskan usaha meningkatkan kesedaran dan kecekapan membabitkan usaha ekuiti pendanaan awam serta pilihan pengumpulan dana rakan setara antara kumpulan sasar tersebut.
Aspek lain termasuk memberi kemudahan pertumbuhan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) serta memanfaatkan pasaran modal Islam bagi memacu agenda SRI.
Beliau berkata, SC akan membangunkan taksonomi SRI untuk pasaran modal dalam usaha melengkapkan agenda nasional serta peralihan kepada ekonomi berkarbon rendah.
"Kami melihat pemulihan ekonomi berterusan yang akan mendorong peningkatan pelaburan swasta apabila aspek keyakinan perniagaan terus ketara selain pertumbuhan bon korporat quasi-kerajaan pada 2021 berikutan langkah menyambung semula projek-projek prasarana yang besar.
"Sudah pasti, keadaan landskap pembiayaan sekarang yang kondusif juga boleh mendorong kalangan penerbit untuk meningkatkan aktiviti itu pada kos pembiayaan lebih rendah," katanya.
-- BERNAMA