Surina lepas jawatan CEO MDEC berkuat kuasa 31 Ogos

Bernama
Ogos 17, 2021 04:13 MYT
Surina menyifatkan pengalamannya menerajui MDEC sebagai amat bermakna termasuk dalam mengetengahkan agenda ekonomi digital negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Surina Shukri akan melepaskan jawatan beliau berkuat kuasa pada 31 Ogos, 2021.
Dalam kenyataan pada Selasa, MDEC berkata Surina telah menyelaras kejayaan misi 'Reinvent' yang menyaksikan operasi agensi itu secara tangkas dan profesional pada tahap integriti tinggi dengan penyampaian inisiatif berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.
"Beliau juga merupakan penyumbang utama bagi menjadikan aspek digital dan teknologi sebagai agenda utama seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara," kata MDEC.
Sementara itu, ketika mengulas keputusan beliau, Surina menyifatkan pengalamannya menerajui MDEC sebagai amat bermakna termasuk dalam mengetengahkan agenda ekonomi digital negara melalui perubahan tidak dijangkakan serta cabaran signifikan sepanjang perkhidmatan selama dua tahun tujuh bulan di agensi itu.
"Saya amat berbangga di atas pencapaian pasukan MDEC setakat ini dan menumpukan usaha bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN.
"Malah, saya juga yakin bahawa MDEC akan terus mencatat kejayaan untuk mencapai pelaksanaan sepenuhnya mandat yang telah dipertanggungjawabkan demi kepentingan rakyat serta negara," katanya.
Surina yang dilantik menggalas tugas itu pada 16 Januari, 2019, turut dinamakan sebagai antara individu berpengaruh dalam senarai 'World's 50 Most Influential People Revolutionising Governance in the Agile 50' oleh pihak Apolitical dan Majlis Masa Depan Global Forum Ekonomi Dunia Mengenai 'Agile Governance' pada 2020.
-- BERNAMA
#MEDEC #CEO #Surina Shukri #letak jawatan #lepas jawatan #31 Ogos #ASEAN #50 Most Influential People #Agile Governance #Nadi Digital ASEAN
;