Surat pembaca: Cadangan tambat Ringgit formula 'lapuk', tidak sesuai senario sekarang
Kenyataan Media
Mei 16, 2022 21:46 MYT
Mei 16, 2022 21:46 MYT
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mengeluarkan kenyataan tentang nilai ringgit Malaysia yang mengalami turun naik kerana nilainya yang tidak ditetapkan dan dijamin oleh kerajaan.
Ujarnya, pinjaman atau penjualan ringgit oleh peniaga mata wang menyebabkan pasaran kewangan dipenuhi dengan ringgit.
Mahathir berkata, perkara sama berlaku ketika krisis ekonomi dunia pada 1997 dan 1998.
Namun katanya, kerajaan bertindak menetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dolar Amerika Syarikat (AS) dan memberi jaminan bekalan dolar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk satu dolar AS.
Namun tindakan menambat ringgit ketika itu hanya 'merugikan' rizab dolar AS negara dan melemahkan pemulihan ekonomi Malaysia Apabila nilai sebenar ringgit adalah lebih lemah daripada RM3.80 kepada dolar AS, maka lebih ramai orang jual ringgit dan beli dollar AS pada kadar tambatan tersebut yang lebih murah serta negara ambil keluar lebih banyak dolar AS dari rizab dolar negara untuk bayar
mereka.
Apabila ini berlaku, rizab dolar negara akan habis dengan cepat untuk membayar tukaran wang kepada orang yang menjual ringgit bagi membeli dolar tersebut.
Bila rizab dolar AS negara rendah atau habis, negara tidak boleh melakukan transaksi pembayaran untuk pembelian import negara dalam dolar AS.
Sekiranya ini berlaku, ekonomi negara akan bermasalah besar, tambatan ringgit itu pun tidak boleh dipertahan sebab rizab dolar negara habis dan ringgit negara akan terhempas.
Akibatnya pelabur semua takut dan cabut lari dan bawa keluar modal dan pelaburan mereka.
Bila ini berlaku dulu, Mahathir melaksanakan kawalan atau sekatan modal (capital control) pula supaya mereka tidak boleh bawa modal mereka keluar.
Akibatnya mereka tidak mahu melabur di Malaysia, sebab kalau mereka melabur, susah untuk mereka keluarkan duit mereka nanti.
Ketika itu, tidak banyak pelabur yang masuk Malaysia dan ekonomi negara pun agak lembab.
Dulu negara terpaksa buat tambatan tersebut kerana krisis mata wang akibat serangan dan spekulasi terhadap mata wang negara akibat dasar mata wang negara yang longgar semasa Mahathir jadi PM4 dan Anwar Ibrahim jadi Menteri Kewangan.
Tetapi kini langkah berkenaan tidak lagi sesuai dibuat.
Sekarang bukan krisis mata wang tapi krisis keyakinan terhadap politik dan ekonomi negara.
Jika negara melaksanakan langkah seperti dicadangkan oleh Mahathir, keyakinan pelabur lagilah akan semakin terhakis.
Sebab itu, hanya beberapa negara sahaja di dunia ini yang tambat mata wang kepada dolar AS. Contohnya ialah Cuba, Djibouti, Eritrea, Lubnan, dan Panama. Ini bukanlah negara-negara contoh dari segi kemajuan ekonomi terbuka.
Isu tambat ringgit ini bukan pertama kali dicadangkan oleh Mahathir, namun dilontarkan setiap kali negara mengalami krisis ekonomi. Namun, cadangannya ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Malahan, Pak Lah menarik balik tambatan ringgit dan melonggarkan kawalan modal ke atas mata wang negara pada 2006.
Hasilnya, aliran masuk pelaburan asing melonjak dengan tinggi ke dalam negara bermula 2005.
Pendirian serupa turut diulangi oleh Najib pada 2018. Menurutnya, menambat mata wang ringgit pada dolar AS menyebabkan hilangnya keyakinan dalam kalangan para pelabur global.
Beliau juga berkata, meskipun berlaku turun naik pada nilai ringgit dalam jangka pendek, namun pada jangka panjang, paras ringgit akan mencerminkan kekuatan ekonomi negara.
Langkah menambat mata wang ringgit dan kawalan modal mengakibatkan pelaburan menjadi lemah, terutamanya pelaburan portfolio.
Selepas melaksanakan tambatan ringgit dan kawalan modal, Mahathir terpaksa melakukan bajet yang tinggi kadar defisit untuk melonjakkan ekonomi menggunakan wang kerajaan menggantikan pelaburan swasta dan asing untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang.
Selepas 1998, bajet defisit berada di atas paras 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang dianggap tinggi untuk jangka masa yang panjang sehingga Mahathir bersara pada tahun 2003.
Walaupun begitu, ekonomi juga berjalan secara perlahan pada tahun 2001 dan tidak menyinar untuk tempoh itu.
Malaysia tidak akan mampu untuk terus bertahan jika kerajaan terus menjalankan bajet defisit melebihi 5% untuk tempoh masa yang berterusan kerana ia menyebabkan hutang negara terus meningkat.
Graf berkenaan menunjukkan perbandingan hutang kerajaan ketika era pemerintahan Mahathir sewaktu menjadi PM4 dan Najib.
Graf itu menunjukkan kenaikan yang berterusan hutang kerajaan semasa zaman Mahathir dalam tempoh tujuh tahun terakhir selepas beliau menambat mata wang dan melaksanakan kawalan modal.
Melihat pada defisit yang besar, pertumbuhan yang lemah dan peningkatan peratusan yang tinggi dalam hutang kerajaan dalam tempoh tersebut, Malaysia mengalami "kerugian besar" sepanjang tujuh tahun terakhir itu.
Negara-negara seperti Korea Selatan, Thailand dan Indonesia terjejas teruk daripada Malaysia tetapi tidak mengenakan kawalan modal atau menambat mata wang mereka. Hanya Malaysia melakukannya.
Mahathir juga sering mendakwa bahawa negara tidak melakukan sebarang pinjaman bersama Bank Dunia ketika krisis ekonomi 1998.
Namun pada 2011, tiga dokumen rasmi Bank Dunia yang didedahkan kepada media menunjukkan salah satu daripada empat pinjaman daripada Bank Dunia berjumlah AS$704 juta diambil kerajaan Malaysia pada 1999.
Dokumen itu menunjukkan bahawa Mahathir mendapatkan pinjaman tersebut menerusi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Perjanjian pinjaman itu ditandatangani oleh Mahathir selaku Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.
Bukankah sebelum ini, Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Rentetan peristiwa itu, Mahathir memecat Anwar jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan setahun kemudian.
Mahathir sebenarnya tidak perlu "kelam kabut"; kerana negara belum mencapai tahap hiperinflasi atau inflasi di luar kawalan seperti dikatakan oleh seorang pakar ekonomi, Profesor Dr Rajah Rasiah.
Susulan kenyataan oleh Rajah itu, Mahathir terus mencadangkan agar kerajaan menambat ringgit.
Ujar Rajah, beberapa negara mungkin menghadapi hiperinflasi, di mana harga barangan dan perkhidmatan meningkat pada kadar tahunan 1000% atau lebih disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Namun amaran Rajah itu dibalas oleh pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Wan Azman Saini Wan Ngah.
Kata Wan Azman Saini, hiperinflasi tidak akan berlaku di Malaysia berikutan kadar inflasi
negara ini tidak begitu tinggi seperti negara-negara lain.
Jelasnya, peningkatan kadar inflasi itu ada tetapi 4% untuk Malaysia dan belum dikira sebagai hiperinflasi.
Malahan beberapa cadangan turut dikemukakan oleh pakar ekonomi lain untuk menangani inflasi ketika ini iaitu meningkatkan stok bekalan makanan bagi tujuan import dan mengawal bekalan wang dalam pasaran.
Selain itu, pakar juga mencadangkan gaji minimum RM1,500 kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja pada 1 Januari 2023 juga perlu diteruskan bagi menangani masalah kenaikan harga barangan.
Justeru, banyak lagi mekanisme lain yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan selain menambat ringgit yang akhirnya akan merugikan negara dalam jangka masa Panjang.
Mahathir juga tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai penasihat serta kementerian yang bertanggungjawab memantau serta memberi nasihat bagi menangani krisis ekonomi.
- Asyraf Hakimi
* Asyraf Hakimi merupakan seorang ahli perniagaan.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.