Supermax bina kemudahan pembuatan termaju pertama di Texas

Dagang News
Mac 23, 2022 09:20 MYT
Gambaran artis kemudahan pembuatan termaju Supermax di Brazoria County, Texas. - Foto ihsan Supermax
KUALA LUMPUR: Supermax Corporation Bhd melalui anak syarikatnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maxter Healthcare Inc akan membina kemudahan pembuatan termaju di Brazoria County, Texas.
Supermax berkata, kemudahan baharu itu akan menjadi kilang pembuatan ke-18 syarikat di seluruh dunia dan yang pertama di AS.
Menurut syarikat itu, kemudahan pembuatan baharu seluas 215 ekar itu akan mempamerkan keupayaan canggih melalui penggunaan kecerdasan buatan dan kejuruteraan robotik yang diperluaskan dan akan merangkumi lapan bangunan.
"Fasa satu akan memulakan pembinaan pada suku kedua 2022 dengan pengeluaran sarung tangan dijangka bermula pada suku kedua 2023," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, lapor Bernama.
Syarikat itu sebelum ini mengumumkan pelaburan sebanyak AS$350 juta dalam fasa pertama daripada empat fasa pembinaan.
Kemudahan Supermax di Texas akan memenuhi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada permintaan tahunan sarung tangan nitril perubatan di AS dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang dalam fasa pertama sahaja.
Fasa kedua akan memenuhi 20 hingga 25 peratus permintaan dan penggunaan di AS dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai berkata, kemudahan pembuatan di AS sentiasa menjadi keinginan syarikat.
Kumpulan Supermax telah melibatkan ARCO/Murray, pembina terkenal untuk gudang dan ruang pengedaran (menurut Engineering News-Record) untuk projek ini.
Supermax mengeksport ke 165 negara dan mempunyai pusat pengedaran serta operasi di AS, Kanada, UK, Ireland, Brazil, Jepun, Hong Kong dan Singapura. - DagangNews.com
#supermax #Brazoria County #Maxter Healthcare Inc #kilang pembuatan ke-18 syarikat
;