Suntikan fiskal harus digandakan - Anwar Ibrahim

Kenyataan Media
Ogos 22, 2020 12:53 MYT
ANWAR: Berdasarkan permasalahan yang dihadapi dan ikhtiar perancangan ekonomi setakat ini, saya khuatiri pemacuan ekonomi tidak mampu dilakukan dengan meyakinkan. - Gambar fail
KADAR Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 17.1% dalam suku kedua tahun ini dan merupakan junaman yang paling parah sejak krisis kewangan negara lewat 90-an, akibat negara kini terjebak dengan bencana pandemik COVID-19.
Ini menandakan bahawa negara mungkin menuju ke arah kemelut yang berpanjangan atau kemelesetan ekonomi.
Statistik mencatatkan 4.9 peratus yakni seramai 773,200 individu menganggur. Jumlah ini dijangka akan mencecah 1 juta pada hujung tahun dan lebih terkesan di kalangan belia. Dikhuatiri dampak ekonomi lebih menyeluruh dan turut melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan banyak Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dilaporkan akan menghentikan operasi kerana tidak mampu menepis dampak kemelesetan.
Laporan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengusulkan agar kerajaan melipat gandakan inisiatif dan langkah bagi memulihkan ekonomi negara.
Saya juga mengambil maklum ikhtiar yang dipelopori oleh negara-negara Asean meninjau perbelanjaan ketimbang (berdasarkan) KDNK negara masing-masing.
Berdasarkan permasalahan yang dihadapi dan ikhtiar perancangan ekonomi setakat ini, saya khuatiri pemacuan ekonomi tidak mampu dilakukan dengan meyakinkan.
Suntikan fiskal sebanyak 3 peratus KDNK adalah terlalu kecil dan pula adalah tekad politik untuk menambah suntikan tersebut secara lebih terkesan. Jumlah penambahan sebanyak RM45 bilion lagi kami yakini akan memantapkan langkah pertumbuhan ekonomi.
Jika ditelusuri cadangan yang kami kemukakan, antara program yang memerlukan penambahan besar adalah seperti program subsidi upah, inisiatif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja, dan bantuan latihan yang perlu ditambah kepada RM33.6 bilion manakala Bantuan Prihatin Nasional serta peruntukan bagi Kementerian Kesihatan bagi perbelanjaan berkaitan COVID-19 masing-masing memerlukan amaun sebanyak RM22.4 bilion dan RM2 bilion. (Rujuk Lampiran A dan B)
Maka, saya menggesa Menteri Kewangan untuk mempertimbang membawa pindaan dalam peringkat Jawatankuasa ke atas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 dengan menambah sebanyak RM45 bilion lagi, menjadikan suntikan fiskal berjumlah RM90 bilion secara keseluruhan.
Pertambahan ini harus disegerakan dan kerajaan harus telus serta mengelak sebarang penyalahgunaan kuasa dan pembaziran dalam menyalurkan dana yang diperuntukkan.
Saya juga ingin menjelaskan pendirian pembangkang bahawa kami tidak menolak Rang UndangUndang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang telah melalui proses undian pada 17 Ogos lalu. Sebaliknya, kami membantah peruntukan yang ditambah pada beberapa kementerian yang pada hemat kami sangat tidak perlu tatkala kemelut sedang memuncak.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
21 Ogos 2020
#Anwar Ibrahim #ekonomi #FMM #KDNK #kemelut #krisis kewangan #MIER #pengangguran #PKS #syarikat
;