Sumbangan Petronas kepada kerajaan mungkin berkurangan tahun depan - CEO

Asyila Kamaludin
November 28, 2014 12:20 MYT
SHAMSUL AZHAR: Petronas dijangka menyumbang sejumlah RM68 bilion kepada kerajaan dan dijangka menurun kepada RM43 bilion, jika harga minyak terus jatuh. -Gambar fail
Sumbangan keuntungan Petronas kepada kerajaan dijangka berkurangan tahun hadapan sekiranya harga minyak dunia terus turun di bawah ASD75 setong.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, tahun ini Petronas dijangka menyumbang sejumlah RM68 bilion kepada kerajaan dan dijangka jatuh kepada RM43 bilion, penurunan 37 peratus bagi 2015 sekiranya harga minyak dunia terus jatuh.
"Kami perlu berdisiplin dalam pengurusan tunai dan polisi dividen," kata beliau sewaktu mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga kumpulan yang berakhir 30 September 2014.
Sehubungan itu, Shamsul Azahar berkata kerajaan perlu menimbang dan melihat semula pengurusan bajet negara sekiranya harga minyak terus jatuh.
Penurunan itu meliputi tiga komponen bayaran dividen, cukai dan royalti kepada kerajaan.
Bagi 2014, Petronas membayar dividen RM29 bilion, cukai sebanyak RM17 bilion dan royalti sebanyak RM26 bilion kepada kerajaan
"Jika harga jatuh (ASD75 setong), kami menjangkakan dividen RM17 bilion, cukai RM17 bil, dan royalti RM9 bilion, keseluruhan RM43 bilion dibayar kepada kerajaan.
"Setiap ASD1 penurunan harga minyak mentah, Petronas kehilangan RM1 bilion," kata beliau.
Sehubungan itu, Shamsul Azhar berkata Petronas bakal memotong perbelanjaan modal (CAPEX) bagi tahun depan sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus.
Petronas sebelum ini memperuntukan RM300 bilion CAPEX bagi lima tahun berakhir 2015.
Pemotongan CAPEX dijangka memberi kesan kepada syarikat perkhidmatan berkaitan minyak dan gas yang menerima kontrak Petronas dalam semua projek.
"Ia akan menjadi tahun yang sukar bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas," kata Shamsul Azhar.
Petronas meramalkan harga minyak dunia akan berada sekitar ASD70 hingga ASD75 setong tahun depan selepas mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) memutuskan tidak akan memotong pengeluaran.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2014, Petronas merekodkan kejatuhan perolehan 1 peratus kepada RM80.4 bilion berbanding RM81.4 bilion suku sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai juga jatuh 12 peratus kepada RM22.8 bilion berbanding RM25.9 bilion suku sama tahun 2013.
Kejatuhan disumbang penurunan harga minyak mentah dunia dan peningkatan kos operasi antarabangsa.
#mentah #minyak #Petronas #royalti #Shamsul Azhar