Sumbangan MSM Malaysia Timur naik berganda sejak 1995 - Bursa Malaysia
Bernama
Oktober 13, 2022 11:15 MYT
Oktober 13, 2022 11:15 MYT
KOTA KINABALU: Sumbangan Malaysia Timur kepada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara telah melonjak kepada 46 peratus pada 2021 berbanding 22 peratus yang dicatatkan semasa 1995, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia dan Pengerusi Bursa Malaysia Derivatives Datuk Muhamad Umar Swift.
Pelancaran kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) pada Oktober 2021 merupakan pencapaian penting dalam usaha memenuhi keperluan lindung nilai dan dagangan pemain minyak boleh dimakan antarabangsa, katanya.
"Kontrak FEPO bertujuan memberikan ketelusan harga yang lebih besar bagi MSM di Sabah serta Sarawak.
"Ketelusan harga yang didayakan oleh FEPO membolehkan pengeluar MSM menjual pada harga yang kompetitif dan untuk pemain hiliran menguruskan turun naik harga bahan mentah mereka dengan lebih baik.
"Oleh itu, ini akan meningkatkan margin penapisan serta daya saing dalam menjual produk akhir kepada pelanggan," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada persidangan serta pameran Prospek Harga Minyak Sawit dan Laurik Malaysia Timur di sini semalam.
Turut hadir adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, Timbalan Menteri Perusahaan Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Martin Ben serta pemangku Pengarah Bursa Malaysia Derivatives Mohd Saleem Kader Bakas.
Muhamad Umar berkata pengenalan Spread Antara Komoditi Bursa Malaysia membabitkan kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan FEPO pada 3 Okt lepas membolehkan pelaksanaan dagangan spread yang lancar antara kedua-dua kontrak dengan hanya satu klik.
Beliau berkata semua peniaga kini boleh membuat transaksi mudah dalam pelbagai dinamik pasaran Malaysia antara Semenanjung dan Malaysia Timur melalui Spread Antara Komoditi.
Semua kontrak FCPO dan FEPO memerlukan penghantaran fizikal untuk diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia, sejajar dengan matlamat Bursa Malaysia bagi mewujudkan pasaran yang lestari.
"Ini menjadikan ianya sebagai kontrak derivatif komoditi pertama yang dihantar secara fizikal di dunia dengan keperluan mampan yang dimandatkan untuk penghantaran," katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya yang disampaikan oleh Masidi berkata harga MSM di Sabah meningkat 26.8 peratus untuk mencecah RM5,372.50 satu tan dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos tahun ini berbanding RM4,505.50 satu tan tahun lepas.
Hajiji berkata nilai eksport bagi tempoh lapan bulan tahun ini menokok sebanyak RM5.87 bilion atau 53 peratus untuk mencecah RM16.94 bilion daripada RM11.08 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sembilan kilang penapis minyak sawit kini beroperasi di Sabah dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 7.48 juta tan setahun, dengan dua kilang biodiesel beroperasi bagi menghasilkan 300,000 tan biobahan api berasaskan sawit setiap tahun.
"Dari Januari hingga Ogos tahun ini, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain berjumlah 3.04 juta tan, naik 58,343 tan daripada 2.98 juta tan yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA