Sumbangan industri pelancongan kepada KDNK global akan lepasi paras prapandemik tahun ini - WEF
Irfan Faruqi
Mei 21, 2024 18:49 MYT
Mei 21, 2024 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Ketibaan pelancong asing dan sumbangan sektor pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dijangka akan kembali ke paras pra-pandemik tahun ini.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam laporan yang diterbitkan pada Selasa berkata pada 2023 industri pelancongan telah menyumbang sebanyak AS$9.9 trilion kepada KDNK, yang merupakan 88 peratus daripada nilainya pada 2019.
Negara-negara Asia Barat telah menunjukkan pemulihan dari segi kadar ketibaan pelancong asing ditahap 20 peratus lebih tinggi berbanding rekod pada tahun 2019.
Laporan tersebut juga mendedahkan negara-negara Eropah, Afrika dan Amerika telah menunjukkan pemulihan sehingga 90 peratus pada 2023.
Laporan Travel and Tourism Development Index 2024 itu menjelaskan, perkembangan positif tersebut disumbangkan oleh pemansuhan sekatan perjalanan berkaitan COVID-19 dan permintaan yang tinggi akibat hasrat untuk mengembara terpendam susulan pandemik.
Selain itu, ia turut didorong oleh jadual penerbangan yang lebih banyak, keterbukaan sempadan yang lebih luas dan minat serta pelaburan yang lebih tinggi untuk tarikan semula jadi dan budaya.
Namun, menurut WEF, aliran positif itu hanya terpakai kepada 71 daripada 119 negara yang ditinjau dengan kenaikan skor purata hanya 0.7 peratus.
Malaysia berada ditangga ke-35 indeks tersebut dengan skor 4.28 daripada skor penuh tujuh. Rekod tersebut menjadikan Malaysia jatuh tujuh anak tangga berbanding kedudukan pada tahun 2019.
Daripada 19 negara-negara Asia Pasifik, Malaysia ketinggalan dibelakang Jepun (ditangga ke-3), Australia (5), China (8), Singapura (13), Korea Selatan (14), Indonesia (22), dan New Zealand (25).
Ini menjadikan Malaysia negara ketiga terbaik dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, mengatasi Thailand.
Pada masa yang sama, WEF menyatakan trend positif ini masih berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik, ekonomi dan inflasi serta fenomena cuaca ektrem yang boleh menjejaskan industri pelancongan global.