Sumbangan besar wanita mampu tambah hingga RM6 bilion kepada KDNK Malaysia - Nancy

Bernama
September 5, 2024 05:00 MYT
Nancy (tengah) bersama lima peserta Program Volvo Iron Women selepas penyampaian sijil pada Majlis Graduasi Program Volvo Iron Women Pertama Di Asia Tenggara di Volvo Malaysia Sdn Bhd, pada Khamis. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Sumbangan besar wanita dalam sektor ekonomi mampu menambah sehingga RM6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata berdasarkan fakta itu, pihak kementerian komited memperkasakan wanita terutamanya melalui sinergi kerjasama silang antara kerajaan dan sektor swasta bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan itu dalam pasaran tenaga buruh tempatan.
Dengan merujuk kepada inisiatif Volvo Trucks Malaysia Iron Women sebagai contoh, Nancy berkata kerajaan mencapai kemajuan yang baik dalam menangani jurang perbezaan jantina dalam tenaga kerja sekali gus mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif melalui gabungan dasar sedia ada dan kekuatan industri.
"Program ini menunjukkan lonjakan yang besar ke hadapan, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara. Ia membuka jalan kepada generasi akan datang, memastikan wanita mempunyai peluang, sumber dan sokongan yang mereka perlukan untuk berjaya.
"Wanita memainkan peranan unik sebagai pengasuh dalam komuniti, dan apabila diberi kuasa, mereka tampil positif yang memberi manfaat kepada keluarga dan meningkatkan kehidupan. Pemerkasaan ini berpotensi untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmiannya di Volvo Trucks Malaysia Iron Women: First Cohort Graduation di sini pada Khamis.
Ahli Parlimen Santubong itu juga berkata pada masa ini kementeriannya memberi tumpuan kepada kepimpinan dalam usaha memperkasakan wanita dalam tenaga kerja dan Program Perantisan Keadilan (PERANTIS) untuk membantu lebih ramai wanita.
"Apabila kita bercakap tentang kepimpinan, ia bukan hanya mengenai kepimpinan politik, ia juga mengenai ekonomi dan mana-mana bidang lain, kami mahu menyediakan platform yang wanita boleh menunjukkan inisiatif dan kemahiran kepimpinan mereka," katanya.
Kohort pertama graduan Volvo Trucks Malaysia Iron Women terdiri daripada lima wanita berumur antara 27 dan 40 tahun dengan tiga daripada mereka adalah ibu. Seorang daripadanya ibu tunggal kepada lima anak, dilatih untuk menjadi pemandu lori pengangkut bertauliah.
Pengambilan untuk Volvo Trucks Malaysia Iron Women 2025 di Malaysia telah bermula secara rasmi dengan dua kohort latihan yang dijadualkan separuh pertama dan kedua tahun ini, bertujuan memperkasakan kira-kira 100 pemandu pengangkutan berat wanita menjelang akhir 2025.
-- BERNAMA
#KDNK #PERANTIS #kualiti hidup #tenaga kerja
;