Sultan Nazrin tegur pemaju cenderung bina rumah mewah

Nurulhana Ismail
April 13, 2016 21:12 MYT
SULTAN NAZRIN: Selain kerajaan, pemaju turut bertanggungjawab menyediakan rumah mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan rendah. -
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menegur sikap pemaju swasta yang cenderung membina projek perumahan mewah.
Titah baginda, selain kerajaan, pemaju turut bertanggungjawab menyediakan rumah mampu milik terutama kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurut Sultan Nazrin, harga rumah di Malaysia telah menyaksikan peningkatan lebih daripada 100 peratus sejak 14 tahun lalu.
"Berdasarkan data daripada Jabatan Perumahan Negara, harga rumah di Malaysia meningkat 110 peratus diantara tahun 2000 dengan 2014.
"Peningkatan ini ternyata tidak selari dengan kenaikan gaji di Malaysia pada kadar purata 2.6 peratus setahun," titah baginda pada istiadat pembukaan rasmi mesyuarat pertama, penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.
Sehubungan itu, baginda bertitah, kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk membina lebih banyak projek perumahan kos rendah di Perak.
"Untuk tujuan tersebut, kerajaan beta akan menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak bagi tujuan mengawal selia pembangunan hartanah dan projek perumahan awam serta membina lebih banyak rumah mampu milik," titah Sultan Nazrin.
Tambah baginda, pada 2014, sebanyak 72.8 peratus isi rumah di Perak memperolehi pendapatan kurang daripada RM5000 sebulan.
#pemaju #perumahan mampu milik #rumah mampu milik #rumah mewah #Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak
;