Sultan Johor muncul pemegang saham individu terbesar REDtone

Bernama
Mac 16, 2015 21:01 MYT
REDtone menyifatkan keputusan Sultan Ibrahim itu mencerminkan keyakinan baginda terhadap pasukan pengurusan. - Gambar Fail
REDtone International Bhd mengalu-alukan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, sebagai pemegang saham individu tunggal terbesarnya dengan memiliki kepentingan 20 peratus.
Dalam satu kenyataan hari ini, REDtone berkata Sultan Ibrahim, telah menambah pegangan sahamnya dalam REDtone sejak setahun lepas. Malah sebelum pertukaran Waran dan Saham Pinjaman Tidak Berjamin Boleh Ubah Tidak Boleh Tebus (ICULS), Sultan Ibrahim telah memiliki kepentingan 4.8 peratus dalam REDtone.
Pengerusi REDtone, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Al-Habshee, menyifatkan keputusan Sultan Ibrahim itu mencerminkan keyakinan baginda terhadap pasukan pengurusan, syarikat serta prospek masa depan REDtone.
"Kami amat teruja dengan kehadiran baginda sebagai antara pemegang utama saham kami terutamanya ketika kami merancang untuk terus mengukuhkan pertumbuhan serta meningkatkan lagi keuntungan syarikat.
"Menerusi sokongan padu ini, kami berharap dapat memanfaatkan pertumbuhan Johor yang memberangsangkan dengan memperluaskan lagi perniagaan kami di negeri itu selain dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
#redtone #saham #Sultan Ibrahim #Sultan Johor
;