Sukses 4.0 lahirkan usahawan pintar digital mendepani cabaran norma baharu

Haikal Raman
Julai 11, 2021 08:51 MYT
SME Bank meneruskan penerbitan program realiti TV, SUKSES bagi tahun keempat dengan memberi fokus mencipta usahawan muda pintar digital dalam mendepani cabaran perniagaan norma baharu.
KUALA LUMPUR: SME Bank meneruskan penerbitan program realiti TV, SUKSES bagi tahun keempat dengan memberi fokus mencipta usahawan muda pintar digital dalam mendepani cabaran perniagaan norma baharu.
SUKSES 4.0 yang akan bersiaran pada pukul 9 malam ini, di saluran 501 Astro AWANI membawa penonton menyusuri perjalanan 10 orang peserta daripada usahawan syarikat pemula hingga peringkat mikro yang bakal mendapat bimbingan mentor juga merupakan pelanggan SME Bank berjaya.
Presiden Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pihaknya mengetengahkan format baharu menerusi SUKSES 4.0 untuk memberi nilai jangka panjang kepada peserta dan membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan trend terkini dunia perniagaan.
Menurut beliau, perubahan tersebut adalah melihat kepada kepentingan media sosial dan adaptasi digital dalam perniagaan terutama sekali ketika tempoh mencabar pandemik COVID-19.
“Dalam SUKSES 4.0, setiap peserta diberi dua tugasan; tugasan pertama menguji kemahiran keusahawanan peserta dan bagaimana mereka menggunakan ilmu yang diperoleh daripada mentor ke dalam perniagaan masing-masing.
“Tugasan kedua pula berkaitan media sosial untuk perniagaan, yang mana peserta perlu memuat naik tugasan ke platform media sosial masing-masing dan menggunakan teknik pemasaran digital yang dipelajari,” katanya.
Untuk memastikan program ini memberi impak yang besar kepada para peserta, SME Bank melantik empat panel juri profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan, pemasaran digital dan ikon usahawan daripada sektor perkhidmatan serta makanan dan minuman.
Barisan panel dilantik adalah Ketua Pengurusan Stakeholders, SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah, Pengurus Besar Nuffnang Live Commerce Sdn Bhd, Aaliyah Soraya Darus (mewakili sektor pemasaran digital), Pengasas & Penasihat Kumpulan Sani United Bhd, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh serta Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif The Boom Beverage Sdn Bhd, Azri Zahier Azmi.
Para peserta turut diberi peluang mengikuti kelas latihan keusahawanan lengkap yang dikendalikan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR), anak syarikat milik penuh SME Bank dan kelas perniagaan digital oleh Master Azriel dari Azriel Consulting and Training.
Juara SUKSES 4.0 bakal menerima hadiah terkumpul bernilai lebih RM100,000.
Program realiti TV dihoskan oleh Fatah Amin turut menawarkan hadiah bernilai RM10,000 menerusi kuiz mingguan yang akan dimuat naik di laman Facebook SUKSES 4.0.
Selain siaran ulangan setiap Khamis pada pukul 9 malam, penonton boleh mengikuti Diari SUKSES 4.0 yang memaparkan cerita perjalanan para peserta di saluran YouTube SUKSES 4.0 setiap Jumaat.
#SMEBank #SUKSES4 0 #PerniagaanNormaBaharu #UsahawanPintarDigital #StartupBerjaya #PerniagaanMikro #MendepaniPandemik #ManfaatMediaSosial #PemasaranDigital #ProgramRealitiTVUsahawan #PerkasaSME
;