Subsidi diesel: Menteri Kewangan II akan umum perincian dalam masa terdekat - Anwar

Ridauddin Daud
Mei 26, 2024 14:19 MYT
Anwar menghadiri Pameran Era Pascanormal Madani di sebuah kompleks beli- belah di Kuala Lumpur pada Ahad. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Segala perincian termasuk berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi diesel secara bersasar akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hanya memberi gambaran dan kerangka besar berkaitan pelaksanaan inisiatif dilakukan kerajaan.
Jelasnya, ia kemudian akan disusuli dengan tindakan daripada kementerian berkaitan.
“Ada orang tanya mengapa semua Perdana Menteri lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar…kemudian, akan ada tindakan susulan.
“Sebab itu saya beritahu antara dasar dan titik bengik. Ada yang tidak faham padahal dalam Kamus Dewan ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Pameran Era Pascanormal Madani di sebuah kompleks beli- belah di Kuala Lumpur pada Ahad.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu akan dibincang dengan pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan secepat mungkin.
“Kita akan bincang dengan pimpinan parti. Peringkat awal, pimpinan Sarawak tetapi.. dua (Yang Dipertua Dewan Negara) terhenti sebelum tamat tempoh.
“Saya akan bincang, esok saya ke Sarawak. Insya-Allah,” ujarnya.
Ketika ditanya berkaitan kekosongan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar menegaskan perkara itu mengikut prosesnya dan akhirnya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pameran tersebut, Anwar berkata pameran unik sebegitu harus dimanfaatkan kerana dapat meneroka pemikiran dan dasar-dasar baharu.
“Sebab itu saya minta semua kementerian, merancang jadual berkala untuk datang ke sini, supaya dapat pelajari dan dapat pendedahan sewajarnya.
“Ia kemudian diiikuti universiti, sekolah dan saya percaya selepas itu swasta pula.
“Di hujung minggu pula, saya anjurkan ibu bapa bawa anak mereka untuk manfaatkan ini, pameran yang julung kali berlaku di rantau Asia,” katanya.
Pameran tersebut akan berlangsung sehingga 10 November depan.
#subsidi diesel #Anwar Ibrahim #pengumuman #Amir Hamzah Azizan
;