Struktur semula Bajet 2015: Langkah kerajaan perlu realistik - Penganalisis

Sathesh Raj
Januari 19, 2015 20:35 MYT
Najib dijangka akan mengumumkan semakan semula Bajet 2015 esok bagi merangsang pertumbuhan ekonomi semasa negara. - Gambar fail
Usaha kerajaan untuk merapatkan jurang defisit fiskal kepada tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan menuju ke arah bajet yang seimbang menjelang 2020 dilihat sesuatu yang agak sukar dicapai ekoran perkembangan ekonomi semasa yang suram.
Ketua ahli ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias berkata, sebarang langkah kerajaan untuk mengatasinya cabaran ini perlu realistik dan pengurangan defisit kepada 3 peratus KDNK adalah sesuatu yang mencabar.
Apabila ditanya tentang apakah bentuk intervensi kerajaan dalam Bajet 2015 yang akan dikemaskini dan diumum pada Selasa?, Suhaimi berkata intervensi baru dijangka dalam bentuk penyelarasan semula perbelanjaan kerajaan.
"Bajet baru semestinya mengambil kira defisit bajet dan membantu menstabilkan kelembapan ekonomi terutamanya dalam bidang-bidang yang menjana hasil pendapatan negara," katanya.
Mengulas peruntukan Bajet 2015, beliau tidak pasti apakah ada antara projek kerajaan yang akan terjejas sekiranya ada pemotongan bajet.
Bagaimanapun Suhaimi yakin projek mega seperti sistem pengangkutan MRT tidak akan terjejas kerana projek tersebut merupakan "projek kritikal".
Menurut The Star Online, Malaysia telah mengecilkan jurang defisit fiskal kepada 3.9 peratus daripada KDNK pada tahun 2013.
Menjelang 2015, kerajaan mengunjurkan jurang defisit fiskal dapat dikecilkan pada 3 peratus apabila 3.5 peratus bagi 2014.
Ekonomi Malaysia sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global baru-baru ini.
Susut nilai mata wang ringgit dan kejatuhan harga minyak menyumbang kepada situasi ini di mana Najib dijangka akan mengumumkan semakan semula Bajet 2015 esok bagi merangsang pertumbuhan ekonomi semasa negara.
#Bajet 2015 #defisit fiskal #pengumuman #Suhaimi Ilias
;