Struktur luas kekal asas ekonomi negara - Lim Ban Hong
Astro Awani
Julai 13, 2021 10:27 MYT
Julai 13, 2021 10:27 MYT
KUALA LUMPUR: Asas ekonomi negara kekal kerana disokong struktur luas yang memberi kekuatan kepada daya saing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Jelasnya, ia sekali gus meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi lebih maju disokong peningkatan dalam teknologi global, serta sokongan dasar dari pelbagai langkah fiskal negara.
"Dengan penyertaan negara dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), blok perdagangan terbesar di dunia, Malaysia boleh berpotensi memanfaatkan 30 peratus populasi dunia serta 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebanyak AS$26.2 trilion.
"Malaysia juga boleh menantikan pengurangan tarif dan kerenah birokrasi serta penyatuan peraturan asal yang akan memudahkan perdagangan antarabangsa lebih besar," katanya semasa ucaptama Persidangan Ekonomi Malaysia 2021, yang dianjurkan oleh Institut Strategik Kingsley (KSI) pada Selasa.
Tema persidangan tahun ini adalah “Spurring Malaysia’s Productivity and Growth After the COVID-19 Pandemic”.
Ban Hong membaca teks ucapan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Laporan Integrasi Ekonomi Asia 2021 oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) yang diterbitkan baru-baru ini menjelaskan, Malaysia akan menjadi antara negara penerima keuntungan daripada terbesar RCEP.
Laporan itu menyebut, RCEP dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang dianggotai Malaysia dijangka menjana AS$333 bilion (RM1.37 trilion) kepada ekonomi dunia menjelang 2030.
Ahli RCEP pula diunjur meraih AS$174 bilion (RM716.5 bilion) dalam pendapatan benar menjelang 2030, menyamai 0.4 peratus agregat KDNK negara ahli.
Dalam pada itu kata Ban Hong, prestasi perdagangan negara meneruskan momentumnya dengan mengekalkan trend menaik pada Mei 2021, dengan perdagangan berkembang sebanyak 48.7 peratus menjadi RM170.88 bilion berbanding Mei 2020.
Jelasnya, eksport juga meningkat 47.3 peratus kepada RM92.31 bilion untuk bulan kesembilan berturut-turut sejak September 2020.
Ujarnya, import negara juga mencatat peningkatan sebanyak 50.3 peratus sehingga RM78.57 bilion dan lebihan perdagangan meningkat 32.3 peratus menjadi RM13.74 bilion.
Tambahnya, perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi untuk Mei dan pertumbuhan dua digit selama empat bulan berturut-turut.
Turut diadakan empat seminar ekonomi sempena Persidangan Ekonomi Malaysia 2021 yang membincangkan isu pembangunan ekonomi pasca pandemik COVID-19.
Antara panel terlibat ialah Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Profesor Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift.