Stripe kini di Malaysia, usahawan digesa rebut peluang
Ibrahim Sani
Oktober 7, 2019 19:08 MYT
Oktober 7, 2019 19:08 MYT
Syarikat pembayaran atas talian, Stripe kini beroperasi di Malaysia.
Stripe membolehkan mana-mana syarikat menggunakan perkhidmatan ini untuk membayar dan menerima wang secara atas talian dengan mudah.
Sebab utama mengapa syarikat menggunakan Stripe adalah kerana ini membolehkan pembayaran dibuat oleh pelanggan syarikat itu untuk membayar mereka, dan pada masa sama, membolehkan syarikat ini membayar penjual/vendor syarikat itu.
Sebagai contoh sebuah syarikat menyewa kereta, SoCar, menggunakan Stripe untuk menerima wang dari pengguna mereka kerana menyewa kenderaan SoCar. Dan pada masa yang sama, SoCar membayar vendor mereka menggunakan sistem bayaran Stripe.
Hadir pada waktu pelancaran ini adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming.
"Saya menggesa syarikat di Malaysia untuk memperkukuhkan perniagaan mereka. Dengan adanya perkhidmatan seperti Stripe, ini membolehkan syarikat untuk memulakan perniagaan atas talian mereka dengan cepat dan mudah," kata Ong.
Di Malaysia, Stripe telahpun digunapakai oleh beberapa syarikat, seperti FashionValet, dahmakan, EasyStore, SoCar, dan banyak lagi.
Stripe bernilai lebih RM147 bilion (AS$35 bil) dan ditubuhkan di San Francisco, Amerika Syarikat. Ia mempunyai pelabur-pelabur terkemuka seperti Elon Musk, Peter Thiel, Sequoia Capital, dan lain-lain.
Antara sebab mereka bernilai ratusan bilion adalah kerana solusi yang dibawakan oleh mereka kepada pasaran adalah 'memudahkan mana-mana syarikat untuk membayar dan menerima bayaran' di internet.
Semasa pelancaran di Kuala Lumpur, terdapat beberapa ahli Stripe yang membuat demonstrasi penggunaanya kepada para wartawan yang menunjukkan betapa mudahnya syarikat untuk mendapatkan perkhidmatan Stripe.
Pembukaan Stripe di Malaysia merupakan pasaran kedua di Asia Tenggara, selepas Singapura.
"Malaysia adalah pasaran penting untuk pertumbuhan Stripe di Asia. Selepas ini, Stripe akan terus berusaha untuk membuka pasaran lain di Asia Tenggara seperti di Thailand, Indonesia, Filipina, dan lain-lain lagi," kata Collison.
#Astro
#Astro Awani
#easystore
#fashion valet
#ibrahim sani
#john collison
#Malaysia
#menteri
#MITI
#Ong Kian Ming
#paypal
#presiden
#SOCAR
#stripe
#usahawan