Strategi pemasaran berunsur lucah hanya untung sementara, cemar imej diri dan perniagaan - Azharee

Raja Hisyam Raja Zaid
November 25, 2021 18:19 MYT
Apapun alasan yang digunakan termasuk strategi pemasaran yang cuba ditonjolkan, peniaga harus memikirkan kesannya kepada masyarakat dan juga imej perniagaan di negara ini.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Berniaga dengan menggunakan taktik pemasaran berunsur lucah tidak akan memajukan sesuatu perniagaan untuk jangka masa panjang selain hanya menjatuhkan maruah diri dan juga perniagaan itu sendiri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Usahawan Mikro Abd Azharee Abdul Wahid, peniaga terutamanya membabitkan perniagaan secara atas talian sepatutnya kembali kepada asas atau fundamental tujuan perniagaan iaitu mencari rezeki dengan cara halal dan diberkati.
Katanya apapun alasan yang digunakan termasuk strategi pemasaran yang cuba ditonjolkan, mereka harus memikirkan kesannya kepada masyarakat dan juga imej perniagaan di negara ini.
“Tidak mungkin kita berniaga secara haram menjadikan perkara itu halal. Ingat, apapun yang kita buat, niat tidak pernah menghalalkan cara. Adalah lebih baik kita buat sesuatu yang lebih beretika, lebih baik kepada imej perniagaan kita.
“Saya yakin orang berniaga walaupun secara kecil-kecilan dan mahu pergi lebih jauh, kalau dari awal jenama yang kita bawa itu ke arah yang tidak baik seperti berunsur lucah saya tak fikir ia akan dibantu untuk dikembangkan kepada peringkat lebih tinggi,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Tambahnya dalam masa yang sama, pihak-pihak berwajib di negara ini haruslah memainkan peranan bagi memastikan mereka yang ingin memasarkan sesuatu produk itu tidak keterlaluan dalam mengiklankan produk perniagaan mereka.
“Untuk mengelak perkara ini daripada lebih buruk dimana ketika ini seakan sudahpun begitu berleluasa, saya rasa pihak kerajaan atau pihak berkuasa memikirkan untuk memastikan perkara ini tidak lagi berlaku.
"Ia tentunya tidak menjanjikan sesuatu yang baik kepada masyarakat dan peniaga terutamanya membabitkan komuniti Islam di negara ini.
“Saya yakin masih ada ruang yang boleh ditekankan dari segi perundangan untuk memastikan kita mampu berniaga dengan lebih baik atau mungkin ada undang-undang yang sedia ada yang memerlukan kita perdebatkan balik untuk memperkasakanya,” jelasnya lagi.
Dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa isu tersebut hanya membabitkan segelintir peniaga sahaja dan tidak menggambarkan keseluruhan peniaga-peniaga mikro di negara ini.
#pemasaran berunsur lucah #usahawan di Malaysia #imej perniagaan #meraut keuntungan
;