Strategi pelaburan kukuh KWSP dijangka pacu agihan dividen

Ehsan A Marisah
Februari 8, 2021 13:30 MYT
Pada tahun 2019, sebanyak RM45.82 bilion diperuntukkan melibatkan pemberian 5.45 peratus bagi simpanan konvensional manakala lima peratus untuk simpanan shariah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengagihkan dividen tidak kurang daripada 4.5 peratus pada tahun ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, KWSP berupaya menyediakan peruntukan itu dengan melihat kepada prestasi pelaburan sepanjang tahun lalu meskipun berdepan kemelesetan ekonomi susulan pandemik COVID-19.
Beliau berkata, pada tahun 2019, sebanyak RM45.82 bilion diperuntukkan melibatkan pemberian 5.45 peratus bagi simpanan konvensional manakala lima peratus untuk simpanan shariah.
“Bagi tahun 2020, KWSP memerlukan sekitar RM9 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen berbanding sekitar RM8.5 bilion pada tahun 2019 dan jika dilihat dalam jangka masa sembilan bulan, jumlah pendapatan pelaburan sudahpun mencecah RM37 bilion.
“Oleh itu, pemberian dividen sebanyak 4.5 peratus hingga lima peratus tidak mustahil dapat direalisasikan pada suku keempat tahun lepas,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, KWSP juga membuat persediaan dan meningkatkan pegangan dalam instrumen mata wang lebih cair dalam menangani pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar melibatkan anggaran sebanyak RM34 bilion.
Walaupun berlaku pengeluaran wang daripada akaun tempatan, beliau menjelaskan, aset atau pelaburan dalam dan luar negara masih mempunyai pulangan tinggi, sekali gus berupaya menyediakan pulangan dividen munasabah.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, secara realistiknya pemberian dividen sekitar 4.5 hingga 4.8 peratus merupakan satu jajaran yang wajar dalam suasana ekonomi sekarang.
“KWSP juga menjamin sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen bakal diterima pencarum seperti yang dinyatakan dalam Akta KWSP 1991.
“Berdasarkan prestasi berkala secara sukuan tahun 2020, suku ketiga mencatatkan pendapatan RM17.83 bilion, suku kedua sebanyak RM15 bilion dan suku pertama sebanyak RM12 bilion, ia menunjukkan trend peningkatan,” katanya.
Ditanya mengenai perbandingan dividen antara KWSP dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB), beliau berkata, perkara itu tidak wajar memandangkan fungsi kedua-dua badan berkenaan berbeza.
Ini kerana, jelas beliau, objektif pelaburan ASB lebih tertumpu kepada penyertaan Bumiputera dalam pasaran ekuiti, manakala KWSP memfokuskan kepada tujuan persaraan.
“KWSP juga menilai dan mempertimbangkan risiko dengan kepelbagaian portfolio, ia dapat bertahan dengan baik cuma keadaan sekarang masih mencabar dan berbeza dengan tahun sebelumnya.
“Apa yang penting adalah strategi pelaburan berpengalaman dapat membantu membuat keputusan tepat dengan tujuan pelaburan dan menghasilkan pulangan konsisten,” jelasnya lagi.
Dividen KWSP | Strategi pelaburan kukuh KWSP pacu agihan dividen
Dalam pada itu, Pensyarah PBS, UPM, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, selain mempunyai aliran tunai berbilion setiap bulan, KWSP turut memperluas pelaburan dalam sektor-sektor berpotensi.
“Ada beberapa sektor menunjukkan perkembangan baik, sekiranya KWSP membuat pelaburan dalam sektor tersebut, ia secara tidak langsung dapat mengimbangi daripada sektor yang merundum.
“Saya juga berharap KWSP akan mengambil kesempatan ini untuk tidak mengurangkan dividen kepada pencarum-pencarum, memandangkan ada sebahagian daripada pencarum telah mengeluarkan duit mereka untuk kelangsungan hidup.
“Adalah lebih baik sekiranya KWSP dapat mempertimbangkan pemberian dividen tidak kurang daripada lima peratus,” katanya.
#KWSP #EPF #pencen #persaraan #Malaysia #i-sinar #i-lestari #Simpanan Konvensional #Simpanan Shariah #COVID-19 #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
;