Strategi MITI berjaya tarik pelaburan RM1.9 trilion

Bernama
Januari 8, 2019 06:00 MYT
Perdagangan Malaysia juga cemerlang pada 2017 apabila mencatat kadar pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 tahun serta kekal kukuh pada November 2018 dengan berkembang sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM162.03 bilion. - Gambar hiasan
Strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak 10 tahun lepas terbukti berjaya menarik pelaburan swasta bernilai RM1.9 trilion dalam semua sektor ekonomi.
Dalam satu kenyataan, MITI berkata walaupun pasaran pelaburan dunia mengalami kelembapan, Malaysia masih mampu mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM197.1 bilion dalam sektor-sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada 2017.
Pelaburan itu membabitkan sebanyak 5,466 projek yang dijangka berupaya mewujudkan sebanyak 139,520 pekerjaan di negara ini.
Menurut MITI, perdagangan Malaysia juga cemerlang pada 2017 apabila mencatat kadar pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 tahun serta kekal kukuh pada November 2018 dengan berkembang sebanyak 3.2 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM162.03 bilion.
Eksport turut tumbuh sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM84.79 bilion pada November 2018 manakala import meningkat 5.0 peratus kepada RM77.24 bilion yang menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM7.55 bilion.
Malah, lebihan dagangan itu merupakan bagi bulan ke-253 berturut-turut sejak November 1997.
"Pencapaian memberangsangkan ini mampu dicapai menerusi penyelarasan dan kerjasama padu yang terjalin antara MITI dan kementerian serta agensi lain.
"Langkah penyusunan semula kementerian baru-baru ini juga bertujuan memperkukuh peranan dan sistem penyampaian kerajaan untuk menangani masalah pertindanan fungsi," kata kementerian itu.
Pada masa sama, MITI juga kekal komited dan bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana kementerian serta agensi lain untuk menghasilkan strategi kolektif bagi mencapai prestasi perdagangan dan pelaburan yang lebih memberangsangkan bagi negara ini.
Bagi kemajuan masa depan, MITI juga telah mula merangka Pelan Induk Industri 4.0 yang merupakan antara usaha berterusan bagi memantapkan pertumbuhan ekonomi negara.
Malah, sejajar dengan trend global, MITI turut mengetuai usaha merangka Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) bagi mengorak Transformasi Digital Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
-- BERNAMA
#ekonomi #IR 4 0 #kerajaan #Malaysia #MITI #pelaburan #peluang pekerjaan #perdagangan #pertumbuhan #sektor pembuatan
;