Stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.35 peratus kepada 1.83 juta pada Jun - MPOB

Bernama
Julai 10, 2024 04:45 MYT
Dalam laporan prestasi industri pada Jun 2024, MPOB berkata stok MSM negara merosot kepada 925,165 tan pada Jun daripada 979,019 tan yang direkodkan pada Mei. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.35 peratus kepada 1.83 juta tan pada Jun 2024 daripada 1.75 juta tan pada Mei 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industri pada Jun 2024, MPOB berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) negara merosot kepada 925,165 tan pada Jun daripada 979,019 tan yang direkodkan pada Mei.
"Stok minyak sawit diproses meningkat kepada 904,304 tan pada Jun daripada 774,192 tan sebelumnya," katanya.
Sementara itu, katanya, pengeluaran MSM merosot kepada 1.62 juta tan pada Jun daripada 1.70 juta tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit berkurangan kepada 367,852 tan daripada 408,326 tan sebelumnya.
MPOB berkata, eksport minyak sawit susut kepada 1.21 juta tan pada Jun daripada 1.38 juta tan pada Mei dan eksport biodiesel turun kepada 14,542 tan pada Jun daripada 22,483 tan pada Mei.
Eksport oleokimia berkurangan kepada 217,430 tan pada Jun daripada 257,635 tan sebelum ini.
"Eksport minyak isirung sawit pada Jun naik kepada 90,895 tan daripada 87,827 tan pada Mei manakala eksport hampas isirung sawit melonjak kepada 213,418 tan pada Jun daripada 147,006 tan sebelumnya," menurut MPOB.
Mengenai import, MPOB berkata, MSM dan minyak sawit yang diproses merosot kepada 11,738 tan pada Jun daripada 20,761 tan pada bulan sebelumnya.
Jumlah import minyak isirung sawit turun kepada 11,214 tan pada Jun daripada 15,842 tan pada Mei, tambahnya. - BERNAMA
#MPOB #minyak sawit #prestasi industri #MSM
;